PENULARAN COVID-19 telah mengubah gaya hidup dan amalan manusia sejagat di seluruh dunia.

Masyarakat pelbagai agama, khususnya umat Islam, terpaksa mengelak perhimpunan jemaah yang memungkinkan penyebaran jangkitan sukar dikawal.

Tidak terkecuali, pihak masjid yang berdepan penutupan sementara selain perubahan sistem pengoperasian yang terpaksa dilaksanakan bagi membendung penularan wabak ini.

Berikut situasi masjid-masjid besar di seluruh dunia dalam mengadaptasikan aktiviti keagamaan sepanjang perintah berkurung dilaksanakan.

  1. Masjidil Haram, Arab Saudi
.

Umat Islam tidak dibenarkan memasuki masjid tersebut bermula 19 Mac lalu. Ini termasuklah Masjid Nabawi di Madinah.

Larangan lain termasuk larangan menunaikan solat di pekarangan Kaabah.

Susulan perintah oleh kerajaan Arab Saudi untuk melarang sebarang aktiviti keagamaan di masjid-masjid tersebut, ibadah umrah yang lazimnya didatangi tujuh juta umat Islam setiap tahun juga turut ditangguhkan.

Pihak berkuasa Arab Saudi melaksanakan perintah berkurung buat warga Mekah dan Madinah pada 2 April lalu.

Walau bagaimanapun, kedua-dua masjid itu akan dibuka tidak lama lagi sebaik sahaja COVID-19 berjaya ditangani.

Perkara itu diumumkan Presiden Ketua Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Abdul Rahman As-Sudais.

BACA: Arab Saudi laksana perintah kawalan pergerakan 24 jam di Mekah, Madinah

BACA: Masjidil Haram, Masjid Nabawi akan dibuka tidak lama lagi


       2.  Masjid Al Aqsa, Baitulmaqdis

Masjid al-Aqsa

Masjid Al Aqsa yang terletak di kota Baitulmaqdis ini merupakan suatu lokasi yang istimewa buat umat Islam kerana ia merakamkan peristiwa perjalanan agung Israk dan Mikraj oleh Nabi Muhammad SAW.

Kesemua upacara keagamaan di masjid itu telah ditunda sejak 23 Mac lalu.

Pintu masjid dan Qabbat As- Sakhrah yang berdekatan dengan kompleks masjid itu juga turut ditutup seminggu sebelum pelaksanaan larangan kemasukan secara serta merta.

Difahamkan, hanya kakitangan masjid sahaja dibenarkan memasuki kompleks masjid itu.

“Bagi memastikan orang ramai sentiasa memperingati Al-Aqsa, pihak masjid merakamkan sesi kutbah dan sembahyang secara langsung,” menurut kakitangan masjid itu, Zeinat Abusbeih kepada Al-Jazeera.


       3.  Masjid Al-Fatih, Turki

.

Masjid bersejarah yang berusia lebih 400 tahun ini terletak di kota Istanbul dan dilaporkan telah mula membatalkan kesemua upacara solat secara berjemaah di masjid itu termasuklah solat Jumaat bermula 16 Mac lalu.

Berbeza dengan masjid-masjid lain, Masjid Al Fatih masih dibuka namun hanya aktiviti sembahyang secara berjemaah adalah dilarang.

“Aktiviti lain seperti mengaji Al-Quran dan kelas-kelas agama akan dilaksanakan secara dalam talian.

“Pada waktu petang, sesi sembahyang dan pengajian Al-Quran disiarkan melalui mikrofon,” kata imam masjid Bunyamin Topcu.

Kini, terdapat lebih 129,000 rekod kes jangkitan COVID-19 di negara itu.

BACA: COVID-19: Menteri Turki letak jawatan kerana cetus panik


        4.  Islamic Cultural Centre of New York, Amerika Syarikat

.

Pada 20 Mac lalu, Islamic Cultural Centre of New York telah mengumumkan larangan kesemua aktiviti di masjid termasuklah solat berjemaah, solat Jumaat serta sesi kelas-kelas keagamaan.

Turut difahamkan, kelas-kelas keagamaan yang diadakan secara mingguan akan tetap dilaksanakan secara atas talian menggunakan aplikasi seperti Zoom dan Facebook live. 

Menerusi laman web rasmi masjid tersebut, pihak kakitangan masjid itu akan mengedarkan pek makanan untuk berbuka puasa bersempena dengan bulan Ramadan.


       5.  Masjid Timur London, United Kingdom

.

Pihak jawatankuasa Masjid Timur London telah mengumumkan perintah larangan kepada semua individu untuk memasuki masjid tersebut.

Namun, masjid terbesar di benua Eropah yang boleh menampung seramai 7,000 orang ini mengambil langkah menyiarkan waktu solat harian serta sesi khutbah melalui radio, YouTube dan Facebook.

Di samping itu, kelas-kelas keagamaan dan pengajian Al-Quran turut dilakukan secara dalam talian.

Baru-baru ini, pihak masjid itu telah mengubah suai sebuah ruang di dalam masjid itu sebagai bilik mayat atas sebab penambahan dalam jumlah kematian di negara itu akibat wabak COVID-19.