Menurut kajian Projek Kestabilan dan Akauntabiliti Malaysia (Projek SAMA), 78 peratus responden Melayu mahu kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap penggunaan, ancaman atau hasutan keganasan, sama ada isu itu berkaitan dengan 3R atau tidak.
Sebaliknya, 67 peratus responden Melayu mahu kerajaan "melarang komen yang menghina atau memudaratkan dalam perbincangan 3R" manakala hanya 41 peratus menyokong larangan sepenuhnya.
Beralih kepada elemen menghormati agama, Projek SAMA mendapati 75 peratus responden Melayu, 75 responden Cina serta 81 peratus responden India setuju nilai hormat terhadap Islam dan kepelbagaian budaya harus seiring.
Hanya 22 peratus responden Melayu berpendapat menghormati Islam perlu mengatasi hormat terhadap multikulturalisme manakala 21 peratus responden Cina dan 16 peratus responden India memilih sebaliknya.
Dapatan lain ialah majoriti kaum Melayu dan Cina melihat kerajaan tidak melayan semua pihak secara adil kerana wujud perbezaan kelas.
Daripada tinjauan itu, responden India pula melihat ketidakadilan lebih kepada perbezaan etnik.
Berdasarkan sampel berwajaran mengikut komposisi etnik di Semenanjung, hanya 42 peratus responden menganggap kerajaan melayan semua pihak secara adil.
Manakala 38 peratus melihat ketidakadilan berpihak kepada golongan kaya dan berkuasa serta baki 20 peratus melihat ketidakadilan berpihak kepada kaum lain, menurut hasil kajian baru-baru ini.
Kajian ini melibatkan 611 dewasa berumur 18 tahun ke atas terdiri daripada 306 responden Melayu, 200 Cina dan 105 India yang dilakukan selama 28 hari bermula 1 Oktober lalu menggunakan panggilan telefon menerusi sistem robot.