SEORANG petarung MMA dari Kanada terputus jarinya ketika sedang bertarung dalam satu kejohanan di Philadelphia, Amerika Syarikat, pada Khamis.

Khetag Pliev, menyedari jarinya itu ‘hilang’ apabila melihat tulangnya terdedah selepas tamat pusingan kedua pertarungannya dengan Devin Goodale dalam kejuaraan Cage Fury.

“Pada pusingan kedua, dia (Goodale) menangkap tangan saya. Pada ketika itu, saya terasa jari saya disentap.

“Dia asyik menarik sarung tangan saya. Kami terus bertarung. Sesudah tamat pusingan kedua, saya lihat tulang saya sudah terdedah.

“Saya mahu terus berlawan kerana saya yakin mampu mengalahkannya. Namun, doktor telah melihat apa yang berlaku dan mengarahkan untuk perlawanan dihentikan,” katanya sebagai dipetik ESPN.

Menurut President Cage Fury Fighting Championship (CFFC) Ron Haydak, untuk beberapa minit, mereka yang berada di venue berkenaan, telah membantu mencari jari Pliev yang hilang itu.

Bagaimanapun, mereka akhirnya menyedari bahawa jari tersebut telah termasuk ke dalam sarung tangan Pliev sendiri.

Pliev kemudiannya dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan bagi menyambung kembali jarinya yang terputus itu.

Pertarungan tersebut berakhir dengan Goodale diumum sebagai pemenang.