Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan Ke-25 bagi Memperingati Ulang Tahun Hubungan Dialog Ke-35, di sini, pada Khamis.
Pada masa sama, Perdana Menteri juga mengalu-alukan penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-ROK.
Dalam sidang sama juga, Anwar menyatakan sokongan kepada pelan penyatuan aman dengan Korea Utara yang diumumkan Presiden Yoon Suk Yeol pada 15 Ogos lalu.
Menerusi pengumuman itu, Suk Yeol berjanji untuk memperluas akses terhadap maklumat di negara tertutup itu dan mencadangkan saluran dialog rasmi yang boleh membincang dan memfokuskan apa jua isu.
Seterusnya dalam Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun pula, Anwar menggesa kerjasama strategik antara ASEAN dan Jepun dalam transformasi digital, pengukuhan rantaian bekalan, dan kecerdasan buatan (AI) dipertingkatkan.
Dalam sidang kemuncak ini, Jepun diwakili Perdana Menteri baharu, Shigeru Ishiba yang mengambil alih tampuk kepimpinan negara matahari terbit itu pada 27 September lalu.