JAKARTA: Inisiatif ASEAN Bersedia untuk Kecerdasan Buatan (AI) yang bertujuan meningkatkan celik AI untuk lima juta belia, pendidik dan ibu bapa di seluruh rantau ini, mendapat sokongan penuh daripada Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.

Inisiatif yang dipimpin Yayasan ASEAN dan disokong oleh geran AS$5 juta daripada Google.org, cabang dermawan Google, dilancarkan semasa Forum Peluang AI Asia Tenggara di ibu pejabat ASEAN pada Rabu.

"Program ini akan merangkumi kempen kesedaran AI di seluruh negara dan sesi latihan melatih jurulatih untuk membantu pendidik mengintegrasikan AI ke dalam bilik darjah serta meningkatkan kemahiran pelajar dengan sumber daripada Yayasan ASEAN," katanya.

Kao memuji Yayasan ASEAN dan Google.org atas usaha mereka, sambil menyatakan bahawa Google telah melabur lebih AS$5.4 bilion dalam infrastruktur dan ruang pejabat di rantau ASEAN.

Kerjasama ini, terutamanya melalui program Go Digital ASEAN oleh Yayasan Asia, telah membantu melatih 400,000 individu dalam kemahiran digital.

Beliau turut memuji Program Celik Digital ASEAN, yang melebihi jangkaan dengan menyediakan kemahiran keselamatan dalam talian dan celik media kepada lebih daripada 190,000 individu, khususnya daripada komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan termasuk belia, warga emas dan wanita.

Forum itu yang dihadiri presiden dan ketua pegawai pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat, menghimpunkan pihak berkepentingan serantau untuk membincangkan dasar AI serta meneroka manfaatnya melalui kios pengalaman interaktif.

-- BERNAMA