Produk-produk terbaharu syarikat elektronik gergasi Amerika Syarikat, Apple Inc yang dinanti-nantikan boleh dimiliki oleh pengguna bermula 19 September ini.

Ia susulan pengumuman syarikat itu pada Selasa mengenai beberapa pembaharuan produknya termasuk tiga produk terbaharunya iaitu iPhone 6, iPhone 6 Plus dan Apple Watch.





Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook melancarkan tiga produk itu di Cupertino, California awal hari ini.

Paling mencuri perhatian, pengumuman Apple Watch atau jam tangan Apple yang berfungsi sebagai jam tangan pintar dengan kelebihan skrin sesentuh.

iPhone
Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook melancarkan tiga produk Apple di Cupertino, California awal hari ini - Foto EPA

Penggemar telefon pintar iPhone pasti tertarik dengan keluaran model terbaru ini di mana ianya bersaiz lebih besar daripada model-model sebelum ini.

Skrin iPhone 6 berukuran 4.7 inci manakala skrin bagi iPhone 6 Plus adalah lebih besar iaitu 5.5 inci.

Apple turut mengumumkan bahawa alat peranti ini juga mempunyai jangka hayat bateri lebih lama berbanding produknya sebelum ini.