APPLE ketika pengumuman WWDC 2024 lepas, telah memperkenalkan Apple Intelligence yang membawa sokongan kecerdasan buatan generatif kepada para pengguna iPhone, Mac, iPad, dan sebagainya.

Ketika pengumuman, hanya integrasi ChatGPT sahaja diumumkan.

Terbaharu, mengikut laporan WSJ, dikatakan Apple telah berbincang dengan beberapa pihak lain, termasuk Meta.

Antara perkara yang dibincangkan adalah mengintegrasikan model kecerdasan buatan yang dibangunkan Meta terus ke sistem Apple Intelligence bagi memudahkan pengguna iPhone dan Mac.

Meta sedia menawarkan model mereka dinamakan LlaMa secara sumber terbuka, selain turut telah mula menambah integrasi Meta AI pada penawaran mereka seperti WhatsApp, dan juga Instagram.

Tidak diketahui sama ada model LlaMa yang dibincangkan untuk diintegrasikan, ataupun Meta AI.

Selain Meta, antara pihak lain yang turut dikatakan berbincang dengan pihak Apple adalah Anthropic dan juga Perplexity.

Buat masa ini, dilaporkan perbincangan masih dalam proses, dan terdapat kemungkinan tidak dilanjutkan. -Amanz