APPLE hari ini berkongsi lanjut berkenaan kedai fizikal rasmi pertama mereka di Malaysia, dipanggil Apple The Exchange TRX.

Ia akan dibuka secara rasminya pada 22 Jun 2024 ini, sekali gus memudahkan para pengguna tempatan dalam mendapatkan pelbagai produk Apple di sana.

Selain jual-beli produk Apple, Apple Store juga mempunyai ruangan perkongsian ilmu dinamakan 'Today at Apple' dengan pelbagai sesi pembelajaran dan aktiviti berbeza, dan turut mempunyai ruangan untuk membuat temujanji khusus dalam mempelajari lanjut berkenaan sesuatu produk Apple.

Apple The Exchange TRX ini mempunyai seramai 160 tenaga kerja, dan Apple mengatakan mereka mempunyai ahli yang meliputi 10 bahasa – sekali gus memudahkan pengguna mendapatkan maklumat dalam bahasa yang selesa bagi mereka.

Apple turut menyatakan Apple Store di Malaysia ini menggunakan tenaga lestari sepenuhnya – seperti bangunan Apple yang lain.

Rekaan yang mesra cahaya luar digunakan, hasil penggunaan pelbagai kaca, di samping turut menggunakan siling bangunan berasaskan kayu balak.

Dengan pembukaan Apple Store di Malaysia juga, pihak Apple turut mengaktifkan Apple Pickup – membolehkan pembelian dilakukan di web Apple, dan barangan diambil-terus di Apple Store.