KABUL: Angka korban akibat hujan ribut serta banjir yang melanda sebahagian besar wilayah Baghlan, Takhar, Badakhshan dan Ghor di Afghanistan, terus meningkat hingga mencecah lebih 330 orang, menurut Pejabat Program Makanan Sedunia (WFP) di negara serta dan pegawai tempatan.

Dalam hantaran melalui media sosial pada Sabtu, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu memaklumkan di Baghlan saja, lebih 300 maut dan lebih 1,000 kediaman dilaporkan musnah.

"WFP kini mengagihkan biskut berkhasiat kepada mangsa yang terselamat," katanya.

Terdahulu, laporan awal menyatakan 160 mangsa terkorban dan 117 lagi cedera akibat hujan ribut serta banjir kilat yang membadai sebahagian besar wilayah Baghlan, Takhar, Badakhshan dan Ghor, lapor Xinhua yang memetik pegawai tempatan, hari ini.

Jurucakap Gabenor Baghlan, Mullah Alam Majidi, berkata banjir kali ini melanda sebahagian besar wilayah terbabit, termasuk daerah Gozargah-e-Noor, Jelgah, Nahrin, Dushi, Baghlan-e-Markazi, Dahna-e-Ghori, Tala-o-Barfak dan Barka.

Ketua Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Takhar, Ahmad Sir Sajid pulaberkata, sekurang-kurang 20 maut dan 14 cedera di daerah Namak Ab, Ishkamish, Farkhar dan Kafgan di wilayah berkenaan.

Selain itu, katanya, sekurang-kurang 300 kediaman dan kemudahan elektrik serta komunikasi turut mengalami kerosakan teruk.

Sementara itu, jurucakap Gabenor Ghor, Abdul Wahid Hamas berkata, tujuh terkorban serta tiga lagi cedera selepas banjir kilat melanda daerah Chaharsada, Murghab, Saghar, Al-Farouq, Tewara dan bandar Firoz Koh.

Di Badakhshan pula, tiga maut dan dua lagi dilaporkan hilang akibat hujan ribut serta banjir di kebanyakan kawasan di utara wilayah itu, kata Ketua Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Badakhshan, Mawlawi Mohammad Akram Akbari. – BERNAMA-XINHUA