ANKARA: Sekurang-kurangnya 52 lagi rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam yang lepas, menjadikan jumlah kematian keseluruhan sejak tahun lepas mencecah 45,028, lapor Agensi Anadolu (AA), memetik kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin pada Isnin.

Menurut kenyataan kementerian itu bahawa seramai 106,962 orang lagi cedera dalam serangan yang berterusan.

“Pasukan Israel membunuh 52 orang dan mencederakan 203 yang lain dalam tujuh pembunuhan keluarga dalam tempoh 24 jam yang lepas,” menurut kementerian itu.

“Ramai lagi mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan dan di jalan raya kerana penyelamat tidak dapat sampai kepada mereka,” katanya.

Serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza berterusan meskipun terdapat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa gencatan senjata segera.

Tahun kedua genosid di Gaza ini semakin mendapat kecaman antarabangsa yang semakin meningkat, dengan pegawai dan institusi menyifatkan serangan dan sekatan penghantaran bantuan kemanusiaan  sebagai percubaan sengaja untuk memusnahkan penduduknya.

Pada bulan lepas, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap ke atas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berhadapan dengan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berikutan  serangan yang dilancarkan ke atas Gaza.

-- BERNAMA