Algeria dan Iran bakal melancarkan satu projek perkongsian bagi membantu Algeria dalam bidang kecekapan tenaga terutama penukaran kenderaan untuk menggunakan gas asli mampat (CNG), kata Menteri Industri dan Perlombongan Algeria Abdessalem Bouchouareb.

Selepas bertemu Menteri Minyak Iran, Bijan Zanganeh, di sini pada Isnin, Bouchouareb memaklumkan bahawa beliau membangkitkan kemungkinan mewujudkan perkongsian itu dengan Iran, yang berjaya menukar sejumlah 1.7 juta kenderaan untuk menggunakan CNG, dalam usaha membantu Algeria melakukan perkara sama sebagai sebahagian daripada program kecekapan tenaga nasionalnya.

Program itu merancang untuk mewujudkan perusahaan mikro di setiap wilayah yang mengkhusus dalam penukaran kenderaan bagi menggunakan gas dengan kerjasama Agensi Nasional bagi Guna Tenaga Belia (ANSEJ), katanya.

Menteri berkenaan juga berkata di bawah perkongsian itu, pihak Iran diharap akan memindahkan pengalamannya dalam bidang tersebut kepada Algeria.

Beliau turut mendedahkan bahawa dua pertiga daripada kenderaan Iran daripada model Saipa yang dikeluarkan di Algeria, akan dilengkapi pemampat CNG bagi membolehkan ia menggunakan CNG sebagai bahan api.