PENYANYI popular kelahiran London, Adele meluahkan perasaan yang terpendam kepada media selepas isu penceraiannya.

Lapor Daily Mirror, penyanyi lagu Hello dan All I Asked itu berkata dia rasa “bebas” selepas selesai memfailkan penceraiannya bersama bekas suami, Simon Konecki.

"Adele luah rasa bebas dan bergerak ke depan dengan kehidupannya. Ia kelihatan seperti urusan perceraian itu akan berjalan lancer,” lapor portal itu.

Dalam pada itu, Adele juga dikatakan sudah bersedia memberikan peminatnya “luahan hatinya” menerusi album baharunya.

Adele, kini sedang dalam proses menyiapkan album itu yang dijangka dilancarkan pada musim sejuk!


Penyanyi itu juga berkata bahawa dia menulis lagu-lagu tersebut sebagai “terapi” kepada kesedihannya.

Adele dan Simon berkahwin secara senyap-senyap pada tahun 2016 dan mengumumkan perpisahan mereka pada April lepas secara baik serta berjanji untuk komited membesarkan anak mereka secara bersama.


Pada hari kelahirannya yang lalu, Adele memuat naik satu gambar berserta kapsyen yang agak sedih.

Dia mengakui tempoh 12 bulan yang lalu adalah sukar dan dia merasakan bahawa sekarang adalah masa yang tepat untuk memberi tumpuan kepada dirinya sendiri.

“Umur 30 menguji saya dengan sesuatu yang hebat tetapi saya berjaya atasinya, saya cuba sebaik mungkin untuk menyelesaikannya.

“Tidak kira berapa lama kita hidup, kita perlu sedar hidup perlu diteruskan dan penuh cabaran kadang kalanya,” tulis Adele.