Penemuan itu mencetuskan persoalan ia mungkin pesawat yang dilaporkan hilang di perairan Malaysia pada Mac tahun lalu.
Seorang pakar bidang keselamatan penerbangan, Xavier Tytelman, percaya ia mungkin serpihan pesawat MH370 berdasarkan bentuk serpihan berkenaan yang sama dengan pesawat MH370, Boeing 777.
Serpihan sepanjang dua meter itu yang kelihatan seperti bahagian sayap dijumpai penduduk tempatan ketika kerja-kerja pembersihan pantai dijalankan dan mempunyai nombor kod.
“Kod berkenaan bukan bukan nombor plat pendaftaran, juga bukan nombor siri, bagaimanapun nombor rujukan itu akan memudahkan ia dikenalpasti,
“Dalam beberapa hari, kita akan mendapatkan jawapannya,” katanya seperti dipetik agensi berita AFP.
Nombor yang tertera pada serpihan itu; BB670.
Laporan penemuan serpihan tersebut jadi perbualan hangat di media sosial dan #MH370 trending di Malaysia.
Sementara itu The Telegraph melaporkan polis di Pulau Reunion yang membuat pemeriksaan awal terhadap serpihan itu berkata ia mungkin telah berada di dalam air kira-kira setahun, bermakna ia mungkin merujuk kepada MH370.
“Kami tidak dapat pastikan tetapi kami fikir mungkin ia merujuk kepada pesawat berkenaan,” katanya.
Pegawai pengangkutan udara Perancis juga dilaporkan telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat dari mana datangnya serpihan berkenaan.
Satu serpihan pesawat yang mempunyai persamaan dengan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 dijumpai di Pulau La Reunion dekat Magadascar di Lautan Hindi.
Sejak dilaporkan terputus hubungan pada Mac tahun lalu, pasukan pencari dan penyelamat tidak menjumpai serpihan pesawat MH370, kejadian yang dianggap misteri dalam sejarah penerbangan.
Kehilangan pesawat berkenaan membingungkan penyiasat dan menyebabkan ahli keluarga serta waris masih tercari-cari jawapan.
Kerajaan Malaysia kemudiannya mengistiharkan kesemua 298 penumpang dan anak kapal yang berada didalam pesawat berkenaan telah terkorban.
Banyak teori muncul mengenai pesawat itu antaranya ia telah mendarat di Diego Garcia atau ‘konspirasi Agensi Perisikan Pusat (CIA) serta ada pihak yang menyembunyikan sesuatu.
Bagaimanapun, Tytelman percaya lokasi di Lautan Hindi adalah lebih logik bagi serpihan pesawat itu dihanyutkan.
Namun jika benar ia adalah serpihan pesawat MH370, lokasi ia ditemui berhampiran pantai Magadascar jauh tersasar daripada lokasi terakhir ia dikesan, perairan Vietnam kira-kira 3,800 batu.