JAKARTA: Indonesia merekodkan sekurang-kurangnya 88 kes mpox, yang dahulunya dikenali sebagai cacar monyet, dari 2022 hingga tahun ini, dengan wilayah Jakarta menjadi yang paling teruk terjejas, menurut Kementerian Kesihatan.


Ringkasan AI
  • Indonesia mencatatkan 88 kes mpox dari 2022 hingga kini, dengan Jakarta paling teruk terjejas.
  • Kes tersebar di Jakarta (59), Jawa Barat (13), Banten (9), Jawa Timur (3), Yogyakarta (3), dan Kepulauan Riau (1).
  • 87 kes telah pulih, dengan kemuncak pada Oktober 2023; varian Clade IIb terlibat dalam 54 kes.


Pemangku Ketua Pengarah Pencegahan dan Kawalan Penyakit Dr Yudhi Pramono mendedahkan bahawa taburan kes termasuk 59 di Jakarta, 13 di Jawa Barat, sembilan di Banten, masing-masing tiga di Jawa Timur dan Yogyakarta dan satu di Kepulauan Riau.

"Daripada jumlah itu, 87 kes telah pulih. Kemuncak kes mpox yang disahkan berlaku pada Oktober 2023, seperti yang ditunjukkan dalam trend mingguan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau menegaskan bahawa varian Clade IIb, yang mempunyai kadar kematian yang lebih rendah dan kebanyakannya tersebar melalui hubungan seksual, terlibat dalam 54 daripada kes itu.

-- BERNAMA