Dunia digemparkan dengan berita bencana alam sejak kebelakangan ini.

Ini rangkuman bencana alam yang dapat kami senaraikan:

GEMPA BUMI - LOMBOK

Gempa bumi kuat dengan kekuatan 6.4 pada skala Richter menggoncang wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok awal pagi Ahad.

Kejadian itu telah menyebabkan 16 maut manakala 160 yang lain cedera. Antara yang terkorban termasuk rakyat Malaysia, Siti Nur Ismawida dan seorang pelancong tempatan dari Makassar, Sulawesi.

Menurut kenyataan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG), gempa itu terjadi berpusat 28km Barat Laut Lombok Timur dengan kedalaman gempa sekitar 10km, hingga menyebabkan kerosakan bangunan dan struktur di kawasan yang terlibat iaitu Kapubaten Lombok Timur dan Kabupatan Lombok Utara.

BACA: Fenomena guruh panjang, kilat melintang : "Bertaubatlah!" - PU Amin

BACA: BMKG Indonesia kesan 85 kali gegaran susulan

FOTO ALBUM: 'Gegaran pemusnah' landa Pulau Lombok

Struktur bangunan yang dibina di tebing bukit ini musnah bersama runtuhan tanah apabila gempa bumi kuat berukuran 6.4 skala Richter melanda Pulau Lombok pada Ahad, 29 Julai. - Reuters


BANJIR - MYANMAR

Sekurang-kurangnya 10 maut dan ribuan penduduk diarahkan berpindah akibat banjir ekoran hujan lebat berterusan di Myanmar.

Hujan lebat melanda negeri Karen, Mon serta wilayah Bago sejak beberapa hari lalu dan masih belum menunjukkan sebarang tanda untuk berhenti.

Kira-kira 54,000 orang terjejas akibat banjir manakala sebanyak 163 pusat perpindahan telah diwujudkan untuk menempatkan mangsa di selatan, timur dan tengah di negara tersebut.

Kira-kira 54,000 orang terjejas akibat banjir. -Reuters


TAUFAN JONGDARI - JEPUN

Taufan Jongdari melanda wilayah barat dan tengah Jepun menyebabkan hujan lebat dan ribut petir berterusan di negara itu sehingga Isnin.

Pihak kerajaan memaklumkan 21 cedera manakala tiada kehilangan nyawa dilaporkan setakat hari ini.

Kira-kira 150,000 kediaman terputus bekalan elektrik.

Awal bulan ini, Jepun baru sahaja berdepan kejadian banjir paling besar sejak beberapa dekad, hingga meragut sekitar 200 nyawa.

Taufan Jongdari melanda wilayah barat dan tengah Jepun menyebabkan hujan lebat dan ribut petir. -Reuters


BANJIR - INDIA

Air bah yang membawa sampah sarap bersama ikan membanjiri sebuah hospital di timur laut India selepas hujan monsun negara itu.

Hujan monsun telah menyebabkan huru-hara sehingga pesakit duduk dengan kaki mereka di atas katil unit jagaan rapi (ICU) di hospital Kolej Perubatan Nalanda di Bihar.

Kira-kira 545 maut di seluruh negara sejak Mei lalu akibat hujan lebat dengan lebih sejuta orang terjejas.

Kejadian tersebut telah menjejaskan infrastruktur usang di negara itu.


Hujan monsun telah menjejaskan infrastruktur usang di negara itu. -Reuters


KEBAKARAN HUTAN - CALIFORNIA

Kebakaran yang bermula sejak 23 Julai lalu telah memusnahkan lebih 1,000 kediaman serta lebih 440 bangunan lain.

Setakat ini jumlah angka korban sudah meningkat kepada lapan orang termasuk kanak-kanak berusia lima tahun.

Dianggarkan lebih 38,000 penduduk di Redding telah dipindahkan ke kawasan selamat manakala hampir 50,000 penduduk telah diberi amaran berpindah.

BACA: Kebakaran hutan California semakin buruk, lebih 32,000 dipindahkan

Dianggarkan lebih 38,000 penduduk di Redding telah dipindahkan ke kawasan selamat. -Reuters


KEMARAU - JERMAN

Golongan petani di Jerman memerlukan dana sebanyak 1 juta Pound (RM5.5 juta) untuk memulihkan tanaman mereka akibat musim panas sehingga menyebabkan kemarau yang melanda negara itu.

Para petani mendesak badan berkuasa untuk membayar pampasan kepada mereka yang telah kehilangan kira-kira 30 peratus hasil tanaman seperti padi dan kentang.

Susulan kemarau buruk yang melanda, pihak kerajaan akan bermesyuarat pada Selasa untuk menangani masalah tersebut.
Tanaman di Jerman terjejas susulan musim panas sehingga menyebabkan kemarau melanda di negara itu. -Reuters


GELOMBANG HABA - EROPAH

Cuaca panas terik dengan suhu mencecah 34.9 darjah celcius telah melanda kota London minggu lalu.

Menurut pengkaji ramalan cuaca, suhu tersebut merupakan yang tertinggi minggu lalu dengan rekod 70 peratus.

Golongan petani turut memberi amaran bahawa gelombang haba tersebut telah menyebabkan tumbuhan mula mati dan kekurangan bahan makanan.

Penduduk tempatan juga dinasihatkan untuk mengambil air secukupnya bagi mengelakkan kejadian dehidrasi.
Menurut pengkaji ramalan cuaca, suhu tersebut merupakan yang tertinggi munggu lalu dengan rekod 70 peratus. -Reuters