JAKARTA: Banjir kilat yang melanda Pulau Ternate di wilayah Maluku Utara pada Ahad, menyebabkan enam orang masih hilang, menurut kemas kini terkini Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB).


Ringkasan AI
  • Banjir kilat di Pulau Ternate menyebabkan 13 kematian, 6 hilang, dan 9 cedera.
  • Banjir merosakkan 25 rumah, satu masjid, dan menjejaskan 25 keluarga; beberapa keluarga dipindahkan ke tempat perlindungan sementara.
  • Pihak berkuasa mengisytiharkan status darurat bencana selama dua minggu bermula Ahad, 25 Ogos.


Jurucakapnya, Abdul Muhari berkata jumlah mangsa yang terkorban kekal tidak berubah seperti Ahad (25 Ogos) iaitu 13 mangsa, dengan sembilan orang dilaporkan cedera dalam bencana itu.

"Kami sedang giat memantau keadaan dan membuka laporan untuk mana-mana ahli keluarga yang masih mencari saudara-mara yang hilang," katanya semasa taklimat media pada Isnin (26 Ogos).

Beliau juga berkata banjir itu menyebabkan kerosakan yang ketara, menjejaskan 25 rumah dan satu masjid, dan memberi kesan kepada 25 keluarga.

Disebabkan kebimbangan mengenai aspek keselamatan dan trauma, beberapa keluarga dipindahkan ke dua tempat perlindungan sementara yang ditubuhkan di sekolah tempatan.

Bencana itu bermula di daerah Rua berikutan hujan lebat yang bermula pada 3 pagi waktu tempatan, kata Abdul Muhari, sambil menambah pihak berkuasa tempatan mengisytiharkan status darurat bencana selama dua minggu.

-- BERNAMA