BEIRUT: Angka kematian akibat serangan Israel di Beirut telah meningkat kepada sekurang-kurangnya 22 sementara dianggarkan 117 orang lagi cedera, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.

Sumber keselamatan Lubnan memberitahu CNN, dua serangan udara Israel melanda tengah Beirut pada petang Khamis, dalam serangan yang dikatakan telah meratakan satu bangunan kediaman.

Di PALESTIN pula, rejim Zionis terus melakukan kekejaman dengan menyerang sebuah pusat perlindungan di Gaza dan membunuh sekurang-kurangnya 28 orang dan mencederakan lebih ramai lagi, kata pegawai kesihatan.

Sementara itu, CNN melaporkan, seorang pegawai kanan Hezbollah terselamat daripada serangan Israel di Beirut.

Laporan itu menyebut, Wafiq Safa terselamat daripada serangan malam Khamis di tengah Beirut.

Wafiq Safa menjadi sasaran serangan Israel di ibu negara Lubnan, menurut sumber Hezbollah dan laporan dalam media Israel.

Beliau merupakan seorang pegawai politik yang mengetuai unit perhubungan Hezbollah, yang ditugaskan menguruskan hal ehwal domestik dan antarabangsa kumpulan yang disokong Iran itu.

Israel tidak mendakwa secara terbuka serangan Khamis atau mengesahkan sebarang sasaran. - Agensi