DAKAR: Lelaki bersenjata yang tidak dikenali membunuh 42 anggota pasukan keselamatan Burkina Faso dalam serangan di bahagian utara negara itu pada Ahad.

Sebuah ibu pejabat militia sukarelawan di daerah Yatenga menjadi sasaran, kata tentera dalam satu kenyataan.

Sepuluh askar dan 32 anggota sukarelawan militia terbunuh dalam pertempuran itu, lapor Anadolu Agency.

Seramai 33 orang cedera dan sekurang-kurangnya 50 pengganas berjaya dikawal.

Burkina Faso terus dibelenggu ketidakamanan, sebahagian besarnya disebabkan oleh pemberontakan yang telah merebak dari negara jiran Mali.

Minggu lepas, sekurang-kurangnya 44 orang awam terbunuh dalam dua serangan pengganas di wilayah Sahel di utara Burkina Faso.

Junta tentera Burkina Faso menerima pakai dekri yang membenarkan negara menggunakan "semua cara yang diperlukan" dan "mobilisasi umum" untuk memerangi pemberontakan.

Pemimpin tentera peralihan, Kapten Ibrahim Traore, menetapkan sasaran untuk menawan semula 40 peratus wilayah negara itu yang dikuasai pemberontak.

Negara Afrika Barat itu merekodkan 1,135 kematian yang dikaitkan dengan pengganas pada 2022, peningkatan 50 peratus berbanding 2021, menurut Indeks Keganasan Global 2023.

-- BERNAMA