GAZA: Sekurang-kurangnya 40 rakyat Palestin terbunuh, termasuk lima kanak-kanak dan ramai lagi cedera dalam beberapa siri serangan udara Israel di seluruh Gaza sejak pagi Isnin, lapor Agensi Anadolu (AA).

Jurucakap Pertahanan Awam Palestin Mahmoud Bassal berkata seramai 36 rakyat Palestin pada mulanya dilaporkan terbunuh dalam pelbagai serangan udara tentera rejim.

Kemudian, satu kenyataan mengumumkan kematian empat kanak-kanak daripada keluarga Zainou di Bandaraya Gaza, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 40 orang.

Di utara Gaza, lima rakyat Palestin terbunuh dalam dua serangan rejim Israel.

Serangan pertama menyasarkan sekumpulan orang awam di kem pelarian Jabalia, menyebabkan tiga penduduk terkorban.

Selain itu, serangan kedua mengenai sebuah pangsapuri di kawasan Al-Amoudi, membunuh dua yang lain.

Di Bandaraya Gaza, 23 rakyat Palestin terbunuh dalam lima serangan udara berasingan.

Serangan pertama berlaku di pantai Gaza, manakala serangan kedua menyasarkan sebuah rumah milik keluarga Al-Ajil di bahagian barat bandar itu.

Butiran lanjut dari Bandaraya Gaza mendedahkan bahawa serangan ketiga berlaku di Al-Thalathini Street di bahagian tenggara bandar itu.

Serangan keempat pula menyasarkan sebuah pangsapuri di bahagian barat bandar, manakala serangan kelima membunuh empat kanak-kanak dalam serangan ke atas rumah keluarga Zainou di kawasan perumahan Al-Daraj.

Di wilayah tengah, Bassal melaporkan bahawa tujuh rakyat Palestin terbunuh dalam dua serangan Israel.

Serangan pertama menyasarkan pintu masuk Haret Al-Jaafrawi, tenggara Deir al-Balah mengakibatkan dua kematian, manakala serangan kedua mengenai sebuah pangsapuri milik keluarga Sidem di kem Maghazi, membunuh lima rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak.

Di Khan Younis di selatan Gaza, serangan Israel menyasarkan sebuah kenderaan awam di kawasan Al-Mawasi di barat Khan Younis, mengakibatkan lima kematian.

Serangan berterusan rejim Israel telah menyebabkan lebih 40,400 kematian rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta lebih 93,500 kecederaan, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

-- BERNAMA