GAZA: Seramai lima individu yang bekerja untuk sebuah pertubuhan bantuan, termasuk empat warga asing terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas kenderaan dinaiki mereka di bandar Deir al-Balah di tengah Semenanjung Gaza, menurut Pejabat Media Kerajaan di Gaza pada Isnin, lapor Agensi Anadolu.

Pengarah pejabat itu, Ismail Thawabteh dalam sidang media berkata Israel menyerang pasukan asing yang terdiri daripada warga Britain, Poland dan Australia manakala satu lagi kewarganegaraan masih belum dikenal pasti, selain seorang warga Palestin dari Gaza

Menurut saksi, kenderaan diserang itu milik World Central Kitchen (WCK), sebuah organisasi bantuan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang diasaskan oleh cef selebriti Jose Andres.

Gambar yang tular di akaun media sosial Palestin menunjukkan pasport warga asing yang terbunuh dalam serangan udara itu, termasuk dari Australia, Poland dan Britain, serta mayat dengan baju-T WCK.

WCK berkata mereka mengambil maklum laporan bahawa anggota pasukan World Central Kitchen terbunuh semasa bekerja untuk menyokong usaha penghantaran makanan di Gaza.

"Ini adalah tragedi. Pekerja bantuan kemanusiaan dan orang awam tidak boleh menjadi sasaran. Selamanya," katanya di X.

Sementara itu, tentera Israel berkata mereka sedang menjalankan kajian menyeluruh di peringkat tertinggi untuk memahami keadaan insiden "tragis" berkenaan.

-- BERNAMA