Seramai 220 orang lemas di Libya sejak beberapa hari lepas, ketika cuba menyeberangi Laut Mediterranean untuk ke Eropah, memetik Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Berdasarkan sumber mangsa yang terselamat, UNHCR berkata sebuah bot kayu yang membawa sejumlah pelarian serta pendatang terbalik di pesisir pantai Libya pada 19 Jun dan dianggarkan daripada 100 penumpang, hanya lima terselamat.

Agensi berita Xinhua melaporkan, beberapa mayat berjaya ditemui dan selebihnya tidak dapat dikesan.

Pada hari sama, sebuah perahu getah dinaiki kira-kira 30 orang tenggelam di lokasi berasingan, seramai 60 orang diselamatkan nelayan manakala 70 lagi dipercayai lemas.

Sehari kemudian, Pengawal Pantai Libya yang menjalankan operasi menyelamat di luar Garabulli, 64 kilometer timur Tripoli mendakwa, lebih 50 pelarian turut terbunuh.

UNHCR kesal dengan peningkatan jumlah pelarian dan pendatang yang terkorban di laut dan menyeru tindakan segera di peringkat antarabangsa untuk meningkatkan usaha menyelamat oleh badan bukan kerajaan dan kapal komersial.

Korban terbaru itu menjadikan jumlah kematian di perairan Mediterranean kepada lebih 1,000 orang pada tahun 2018.

Memandangkan kedatangan musim panas tidak lama lagi, dijangkakan bilangan pelarian dan pendatang yang cuba menyeberangi Laut Mediterranean akan meningkat.

Setakat ini, Pengawal Pantai Libya dilaporkan telah menyelamatkan 8,000 pelarian di sepanjang pantai Libya.

--BERNAMA