SEKTOR pendidikan tinggi memainkan peranan penting bagi pembangunan sesebuah negara. Ini kerana, ia mampu mencorakkan pembangunan sumber manusia, meningkatkan produktiviti industri, menggalakkan inovasi, menghapuskan kemiskinan dan membangunkan kemahiran asas rakyat. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pelaburan dalam sistem pendidikan tinggi merupakan langkah pertama ke arah mencapai kemajuan.

Bagi Malaysia, pembangunan sistem pendidikan tinggi telah diberikan fokus oleh kerajaan termasuk pelan mengantarabangsakan sektor pendidikan tinggi. Proses itu kemudian berjaya menarik pembukaan kampus-kampus universiti dari luar negara, pembentukan kerjasama strategik peringkat universiti dan penubuhan koridor pendidikan tinggi serta pengukuhan universiti-universiti tempatan termasuk Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menjalinkan kerjasama dengan universiti luar negara.

Pembangunan lain merangkumi kejayaan membina kerjasama di dalam bidang penyelidikan, penerbitan selain menggalakkan kemasukan tenaga kerja pendidikan sama ada tempatan atau luar negara untuk keperluan kampus-kampus pendidikan tinggi di negara ini. Penyediaan geran-geran padanan melibatkan universiti tempatan dan luar negara juga semakin aktif menandakan pembangunan mampan sektor pendidikan tinggi negara.

Implikasinya, tidak kurang 100,000 pelajar asing datang ke Malaysia setiap tahun dari benua Eropah, Amerika Utara, rantau Arab, Australia, New Zealand dan lain-lain negara lagi. Tidak terkecuali, Malaysia juga menjadi pilihan bagi pelajar dari Indonesia yang merupakan antara jiran terdekat bagi Malaysia selain berkongsi pelbagai aspek kebudayaan dan bahasa. Selain itu, proses berkenaan telah membantu mempercepatkan perkembangan sektor pendidikan tinggi mengikut perancangan strategik ditetapkan.

Kepentingan sistem pendidikan tinggi ini menyebabkan pelaburan sentiasa dibuat dari masa ke semasa kerana adanya permintaan tinggi terhadap pendidikan selari dengan perkembangan penduduk sesebuah negara. Proses globalisasi dan pengantarabangsaan pendidikan tinggi dan kemajuan sistem teknologi komunikasi maklumat (ICT) turut memberi impak yang signifikan kepada sektor ini. Menerusi ICT, penganjuran kuliah lebih mudah secara dalam talian. UUM sendiri misalnya, memberi tumpuan kepada aspek ini di dalam Pelan Hala Tuju ke Hadapan 2024/2025 yang antara lain memperkasa aspek pengajaran dan pembelajaran kepada mahasiswa menggunakan kemudahan dalam talian.

Melihatkan kepada kepentingan dan besarnya prospek sektor pendidikan tinggi ini, usaha berterusan perlu dilaksana bagi memperkemas proses pengantarabangsaan universiti dan amnya, bidang pendidikan tinggi negara. Untuk tujuan itu, pelaksanaan strategi pada setiap peringkat seperti mahasiswa, pensyarah, pentadbiran universiti dan sebagainya perlu digalakkan secara meluas. Aktiviti seperti kerjasama penyelidikan, penerbitan akademik, mencari rakan potensi baharu, aktiviti promosi di peringkat antarabangsa, mobiliti pelajar dan kakitangan sentiasa dipertingkat yang bermatlamat memperkukuh proses pengantarabangsaan ini.

Dan, mengulas mengenai aktiviti mahasiswa ini, saya berpeluang mengendalikan 20 pelajar yang mengikuti program SMMTC Outbound Mobility 2023 (SOLITY’23) dari UUM ke Indonesia pada 1 hingga 8 Disember lalu. Program tersebut merupakan pelaksanaan di bawah memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai UUM bersama universiti di Indonesia pada bulan Mei 2023. Delegasi dari Pusat Pengajian Teknologi Media dan Komunikasi, (SMMTC) UUM menjayakan misi lawatan dengan menyertai seminar antarabangsa, sesi syarahan umum dan juga aktiviti melibatkan mahasiswa.

Sebagai rujukan, Indonesia adalah salah satu pasaran yang mempunyai potensi besar bagi bidang pendidikan tinggi dan negara itu pada masa kini, aktif mengantarabangsakan sistem pendidikan tingginya. Sehingga 2021, Indonesia mempunyai 125 universiti awam dan lebih 4,000 universiti swasta dan institusi pengajian tinggi lain menawarkan puluhan ribu bidang pengajian. Ini memberikan pelbagai pilihan kepada pihak yang mahu menjalin kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi di Indonesia.

Peluang mengadakan pertukaran mahasiswa dan menjalin kerjasama dengan universiti di Indonesia hanyalah satu langkah kecil tetapi mempunyai impak tersendiri di dalam proses pengantarabangsaan pendidikan tinggi. Ia membolehkan mahasiswa dari dua institusi memperluaskan pandangan mereka terhadap proses pengantarabangsaan pendidikan tinggi yang mampu melahirkan modal insan dan juga rakyat berkemahiran tinggi.

Perjalanan SOLITY’23 di Universitas Mercu Buana, Universitas Pancasila dan Politeknik Tempo di Jakarta tempoh hari, padat dengan program melibatkan pertukaran budaya, aktiviti kemahiran dan memupuk kerjasama dalam kalangan pelajar terlibat. Dapat diperhatikan, pendedahan elemen-elemen budaya, perkongsian kaedah pengajaran mahasiswa dan perbincangan akademik memberi nilai tambah yang besar kepada perkembangan mahasiswa. Antaranya, mereka berpeluang mempraktikkan teori-teori yang dikuasai di dalam bilik kuliah di dalam, membina rangkaian sesama mahasiswa dan menggalakkan perkembangan akademik. Impak lain adalah pembentukan karakter peribadi mahasiswa menerusi proses interaksi dengan pelajar luar negara dapat meningkatkan keyakinan diri mahasiswa yang selari dengan impak proses pengantarabangsaan pendidikan tinggi. Untuk jangka masa panjang, peningkatan penganjuran program-program mahasiswa di peringkat antarabangsa akan menjadi manifestasi kepada perkembangan proses pengantarabangsaan sesebuah universiti itu sendiri.

Pada peringkat dasar, Malaysia sudah menunjukkan kejayaan apabila berlaku peningkatan jumlah institusi pendidikan tinggi, kolej dan institusi vokasional. Promosi pengantarabangsaan pendidikan tinggi juga sudah giat dilakukan termasuk pengukuhan aspek akreditasi yang sentiasa diperkemas bagi memastikan kualiti pendidikan tinggi terjamin. Inisiatif-inisiatif oleh pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi juga dibuat secara konsisten tidak terkecuali integrasi teknologi di dalam bidang pendidikan tinggi. Oleh itu, apa yang penting adalah pihak universiti terus memainkan peranan aktif bagi menjayakan pelan pengantarabangsaan pendidikan tinggi ini khususnya melibatkan mahasiswa.



*Dr. Mohd Zuwairi Mat Saad merupakan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), SMMTC UUM

**Artikel ini adalah pandangan peribadi berdasarkan bidang kerjaya penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.