Sekurang-kurangnya 12 terkorban akibat banjir kilat yang melanda selatan Perancis pada Isnin.

Menurut pihak berkuasa tempatan, hujan lebat berterusan mengakibatkan air sungai melimpahi ke atas jalan serta memasuki rumah serta menghanyutkan kenderaan.

Beberapa kematian dilaporkan di bandar Trebes yang terletak di antara sebuah terusan dan dua sungai.

Susulan kejadian, Presiden Emmanuel Macron memutuskan untuk menangguhkan rombakan kabinetnya yang sepatutnya diadakan pada Isnin.

"Ia seperti zon perang. Kawasan perkampungan ini terputus hubungan dengan dunia luar," kata seorang penduduk Villegailhenc, Jacques Garros.


Perdana Menteri Edouard Philippe melawat kawasan paling teruk terjejas untuk bertemu dengan anggota pasukan kecemasan.

Kira-kira 350 anggota bomba terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat (SAR) dan angka ini akan digandakan dalam beberapa hari akan datang.

Rakaman video menunjukkan sungai berlumpur menghanyutkan pokok, menumbangkan tiang elektrik dan menyebabkan kerosakan teruk pada jalan di Aude.

Sembilan helikopter telah dikerah untuk menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap di bumbung rumah mereka.

Ribuan penduduk pula telah dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS).

Antara kawasan yang paling teruk terjejas termasuk Kampung Conques-sur-Orbiel, Villegailhenc dan Villadonnel di mana air sungai naik setinggi tingkat satu beberapa rumah.

Daerah Aude popular dengan pelancong asing mahupun tempatan.

Menurut ketua kampung Aude, Alain Thirion, banjir berlaku secara tiba-tiba dan sekurang-kurangnya seorang mangsa dilaporkan dihanyutkan arus deras ketika sedang nyenyak tidur.

Semua sekolah di kawasan terbabit diarah tutup dan penduduk dinasihati untuk tidak keluar dari rumah.

Menurut agensi Vigicrues yang memantau paras air sungai di Perancis, banjir kilat ini hampir menyamai banjir buruk di negara itu pada 1891.

Hujan lebat di Perancis sering berlaku di negara itu ketika ini, namun agensi meteorologi tempatan berkata keadaan panas sepanjang persisiran pantai laut Mediterranean tahun ini mungkin telah menyebabkan hujan bertambah lebat.

Tambahnya, tahun ini merupakan tahun paling panas di Perancis sejak 1900.