Sekurang-kurangnya 12 terbunuh dalam kejadian banjir dan tanah runtuh di tengah Vietnam, menurut pihak berkuasa, hari ini.

Hujan lebat yang melanda tengah wilayah Khanh Hoa sejak beberapa hari lalu yang dibawa ribut tropika Toraji dari Laut China Selatan telah mencetuskan tanah runtuh yang meranapkan perkampungan dan takungan kecil.

Susulan itu, ratusan tentera telah dikerah untuk membantu penduduk di kawasan yang terjejas selain membersihkan jalan raya.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang mungkin tertimbus sedang giat dilakukan," kata jurucakap pihak berkuasa.

Difahamkan, lebuh raya utama menghubungkan utara dan selatan Vietnam kini terhalang dan beberapa laluan kereta api turut terjejas.

Tahun lalu, Khanh Hoa yang menempatkan bandar peranginan popular Nha Trang dibadai Taufan Damrey yang meragut sekurang-kurangnya 27 nyawa.