RAMALLAH: Kira-kira 1.8 peratus daripada populasi Gaza terbunuh sejak 7 Okt lepas berikutan serangan dahsyat Israel ke atas wilayah itu, menurut angka yang dikeluarkan oleh Biro Statistik Pusat Palestin (PCBS) pada Ahad.

Agensi Anadolu melaporkan, biro itu dalam satu kenyataan berkata, lebih daripada 39,000 orang telah terbunuh dalam serangan Israel di Gaza sejak 7 Okt 2023.

"Ini merupakan sekitar 1.8 peratus daripada jumlah populasi di wilayah itu," katanya.

Menurut biro itu, kira-kira 24 peratus daripada mangsa Palestin di Gaza adalah golongan muda.

Lebih 100 orang awam maut dan puluhan yang lain cedera pada Sabtu apabila sebuah pesawat perang Israel menyerang dan menyasarkan rakyat Palestin yang sedang menunaikan solat Subuh di Sekolah Al-Taba'een di kejiranan Al-Daraj di Bandaraya Gaza, menurut pihak berkuasa kesihatan.

Perangkaan itu turut menunjukkan kebuluran telah meragut 34 nyawa di Gaza, dengan sekitar 3,500 kanak-kanak berisiko mati akibat kekurangan zat makanan dan kekurangan bekalan makanan.

Menurut biro itu, sekitar 70 peratus daripada orang yang cedera di Gaza adalah wanita dan kanak-kanak, manakala kira-kira 10,000 orang masih hilang dan sekitar dua juta telah kehilangan tempat tinggal.

Ia berkata 620 rakyat Palestin maut terkena tembakan Israel di Tebing Barat yang diduduki, dengan sekitar 75 peratus daripada kematian melibatkan mereka di bawah umur 30 tahun.

Lebih daripada 10 bulan sejak serangan Israel, sebahagian besar Gaza kini bertukar kepada runtuhan bangunan di tengah-tengah sekatan yang menjejaskan bekalan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.
- BERNAMA