KUALA LUMPUR: Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Sistem Transit Aliran Johor Bahru-Singapura (RTS) mampu memberi kesan positif dalam hubungan dua negara jiran yang umpama adik-beradik.

Penganalisis ekonomi Dr Oh Ei Sun berkata Malaysia dan Singapura mampu menarik pelaburan dalam industri komputer dan cip selain mempunyai tenaga kerja yang matang.

"Singapura perlu mencari tempat yang lebih luas untuk melabur dan membina kilang sementara Malaysia dapat memanfaatkan pemindahan teknologi. Jadi kedua-dua negara berpotensi untuk bekerjasama dalam bidang yang sangat luas.

"Jika Malaysia dan Singapura dapat bekerjasama dalam bidang canggih seperti kecerdasan buatan (AI), langkah itu akan menjadikan kedua-dua negara sebagai pusat perkembangan teknologi tinggi di Asia Tenggara," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Malaysia Petang Ini yang disiarkan secara langsung di saluran Bernama TV pada Rabu.

Oh berkata demikian ketika mengulas mengenai pengukuhan hubungan dua hala Malaysia-Singapura sempena lawatan sulung Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong selepas dilantik sebagai perdana menteri republik itu pada 15 Mei lepas.

Menurut Oh, maklumat terperinci mengenai zon ekonomi khas berkenaan perlu diperjelaskan seperti adakah terdapat pengecualian cukai dan sebagainya bagi menggalakkan pelaburan di zon itu.

Beliau turut berharap perincian mengenai zon ekonomi khas Malaysia-Singapura akan menjadi antara fokus dalam sesi Permukiman Pemimpin Malaysia-Singapura kali ke-11 pada akhir tahun ini.

Katanya satu lagi isu di antara Malaysia dan Singapura yang perlu dicari langkah penyelesaian ialah kesesakan di Tambak Johor berikutan ramai warga Malaysia yang bekerja di Singapura dan berulang-alik setiap hari.

"Masalah ini mungkin dapat diselesaikan dengan pemanjangan MRT dari Singapura ke Johor Bahru.Tapi semua ini perlu koordinasi," kata Oh.

Mengenai isu global seperti perubahan iklim, beliau berkata masalah itu mempengaruhi sektor pertanian Malaysia dan kedudukan Singapura sebagai sebuah negara pulau. Oleh itu kerjasama dalam menangani perubahan iklim dapat memanfaatkan kedua-dua pihak.

Bagi isu di peringkat ASEAN, Oh berkata kerjasama di antara Malaysia, Singapura dan mungkin melibatkan Indonesia dalam menangani krisis di Myanmar dapat meningkatkan semangat kebersamaan dalam blok itu.

Wong tiba di Malaysia untuk lawatan kerja dua hari semalam atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA