Urus niaga saham-saham Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan digantung esok, berkuat kuasa 9 pagi bagi membolehkan satu pengumuman penting dibuat.

"Sehubungan itu, dagangan melibatkan waran berstruktur berkaitan dengan TNB akan turut digantung pada masa sama," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

Saham-saham TNB ditutup pada harga RM13.46 hari ini, iaitu naik enam sen berbanding Jumaat lepas dengan sejumlah 12.18 juta saham diniagakan.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dijangka membuat pengumuman penting mengenai semakan tarif di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan bagi tempoh 1 Jan dan 30 Jun, 2016.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, TNB berkata ia telah membuat permohonan kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memberi penangguhan selama tiga bulan berhubung pembayaran cukai dipertikaikan untuk membolehkannya merujuk pihak berkuasa tertentu berhubung perkara berkenaan.

TNB mengandaikan taksiran yang dipertikaikan itu menyusuli keputusan LHDN untuk tidak membenarkan tuntutan elaun pelaburan semula bagi tahun taksiran 2013 dan 2014, masing-masing bernilai RM985.57 juta dan RM1.08 bilion.

Ia telah menuntut elaun pelaburan semula bagi tahun taksiran 2013 dan 2014, sejajar kelulusan LHDN bertarikh 21 Jan, 2013, yang secara dasarnya meluluskan tuntutan elaun pelaburan semula itu.

"Bagaimanapun, menerusi surat-suratnya bertarikh 17 Jun, 2015 dan 15 Sept, 2015, pihak LHDN menarik balik kelulusan awalnya atas alasan TNB tidak terbabit dalam perniagaan perusahaan," kata TNB.

Syarikat utiliti tenaga itu berkata, tuntutan elaun itu sejajar dengan pelaburan besar dalam perbelanjaan modal tahunan ditanggung TNB bagi tujuan pengembangan, pemodenan dan meningkatkan infrastuktur tenaga elektrik.

Berdasarkan nasihat oleh perunding serta peguam percukaiannya, syarikat itu percaya yang ia berhak menuntut elaun pelaburan semula berkenaan.

Taksiran tambahan bagi tempoh sebelum tahun taksiran 2013 tidak berbangkit kerana TNB hanya mengemukakan semakan taksiran bagi tujuan menuntut elaun pelaburan semula yang tidak akan menyebabkan cukai tambahan untuk TNB.

Berikutan itu, TNB telah memulakan proses rayuan pada kadar segera bagi membolehkannya mencabar taksiran yang dipertikaikan itu.