KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) mencatatkan keuntungan bersih RM715.70 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2024, susut 28.6 peratus daripada RM1 bilion yang dicatat setahun lepas, disebabkan terutamanya oleh kerugian terjemahan pertukaran asing dan perbelanjaan cukai yang diiktiraf bagi suku itu.

Hasil, bagaimanapun meningkat kepada RM13.64 bilion daripada RM12.63 bilion sebelum itu, mencerminkan peningkatan dalam jualan elektrik.

"Lonjakan permintaan sebanyak 9.9 peratus didorong terutamanya oleh sektor komersial dan domestik," kata syarikat utiliti elektrik itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Ia berkata hasil yang lebih kukuh itu konsisten dengan pengembangan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 4.2 peratus.

Melangkah ke hadapan, TNB berkata ia menjangkakan prestasi yang stabil pada tahun ini berikutan ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara empat hingga lima peratus.

Ia kekal berhati-hati dalam mengharungi cabaran akan datang sambil mengambil pendekatan berhemah untuk memastikan ia kekal berdaya tahan.

"Kumpulan juga komited untuk memainkan peranan penting dalam menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional sambil mengejar pertumbuhan perniagaan," katanya.

-- BERNAMA