JMFR 2024 medan erat ukhuwah, gaya hidup sihat - Fadillah
Program Janamanjung Fellowship Ride (JMFR) 2024 dilihat berjaya menjadi platform merapatkan ukhuwah.
Bernama
Sun Oct 27 2024
Fadillah (dua, kanan) berucap sebelum melepaskan kira-kira 1,800 peserta kayuhan program Janamanjung Fellowship Ride 2024 di Teluk Batik hari ini. - Foto BERNAMA
MANJUNG: Program Janamanjung Fellowship Ride (JMFR) 2024 anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) dilihat berjaya menjadi platform merapatkan ukhuwah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata program itu turut menjadi merupakan platform bagi membudayakan hidup sihat melalui aktiviti berbasikal, di samping membolehkan TNB melaksanakan 'tanggungjawab sosial korporatnya (CSR)', dengan menghulur bantuan kepada mereka yang memerlukan dalam kalangan masyarakat setempat.
Bercakap kepada media setelah melepaskan peserta program itu di Teluk Batik di sini hari ini Fadillah berkata, program berkenaan yang tergendala selama beberapa tahun akibat pandemik COVID-19, diadakan kembali tahun ini, membabitkan kira-kira 2,000 peserta dari seluruh Malaysia.
Turut hadir pada progam pagi ini ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan.
Sementara itu Megat berkata JMFR 2024 yang juga diadakan bersempena Ulang Tahun Ke-75 TNB, melibatkan kayuhan sejauh 75 kilometer bermula di Pantai Teluk Batik dan berakhir di lokasi sama.
Dengan tema "Ride Together: Energy. Progress. Sustainability," JMFR 2024 bukan sekadar acara berbasikal, tetapi satu platform komitmen TNB dalam mempromosikan gaya hidup sihat dan tenaga bersih, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 3 - Kesihatan dan Kesejahteraan.