Anak syarikat milik penuh United Malayan Land Bhd (UMLand), Tentu Teguh Sdn Bhd (TTSB), mensasarkan kadar pengambilan sebanyak 75 peratus untuk projek Johor Halal Park yang berkeluasan 141.64 hektar menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TTSB dan Johor Halal Park, Mohd Noor Abd Salam berkata terdapat pelabur-pelabur yang berminat dari Singapura, Jepun, Korea, Taiwan dan China.

"Sehingga ke hari ini, kami memberi tumpuan penuh kepada negara-negara di Timur Jauh tetapi akhir-akhir ini, kami turut menerima pertanyaan dari Timur Tengah dan Eropah.

"Dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM1.2 bilion, tanah perindustrian milik bebas yang telah ditetapkan untuk perniagaan berasaskan bio dan bakal diiktiraf sebagai Hab Halal HALMAS pada Mac, ini merupakan tawaran yang unik kepada para pelabur yang berpotensi," katanya.

Dengan status HALMAS, pengendali, peneraju industri dan penyedia perkhidmatan logistik akan dapat menikmati insentif bagi membantu syarikat sedia ada serta mereka yang berminat dalam industri halal.

HALMAS merupakan satu pengiktirafan yang diberikan kepada pengendali Taman Halal yang berjaya mematuhi syarat-syarat dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) bagi pembangunan taman halal.

Ia juga menjadi tanda kecemerlangan kepada taman-taman industri yang mempunyai kualiti-kualiti yang patut diberikan perhatian, iaitu pengeluaran produk halal yang bermutu tinggi, integriti serta keselamatan.

UMland dan Kerajaan Negeri Johor melalui J-Biotech Holdings Sdn Bhd, telah menandatangani perjanjian usaha sama di sini sempena pengoperasian dan pengurusan Johor Halal Park yang terletak di Pasir Gudang, Johor.

Upacara itu telah disaksikan oleh Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi UMLand, Tun Musa Hitam.

"Majlis tandatangan hari ini merupakan satu tanda aras yang baharu, sebagai penunjuk kepada bakal pelabur bahawa Kerajaan Negeri, Persekutuan dan swasta akan bekerjasama sebagai rakan kongsi strategik.

"Gabungan perniagaan berasaskan bisnes halal dan bio merupakan perkongsian pintar dan ia mempunyai potensi besar," kata Mohd Noor.