Johor Bioteknologi dan Biodiversiti Corporation (J-Biotech) sasar penyertaan 10 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam program khusus, Bio-PKS.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Amir Jeffery Wan Abdul Majid berkata ia bakal memacu pembangunan ekosistem PKS dan terus melestarikan pembangunan bioekonomi secara menyeluruh .

Setakat ini, 171 syarikat PKS telah dikenalpasti di Johor dan J-Biotech hanya memilih 10 syarikat untuk memastikan pengurusan program berjalan dengan lancar.

"Kita mengenalpasti keperluan PKS dari segi pemboleh-pemboleh yang diperlukan untuk berjaya, termasuk keperluan kewangan, latihan, akses kepada teknologi, akses kepada pasaran dan sebagainya," beliau berkata dalam satu temubual pada Selasa.

Wan Amir berkata bagi tahun pertama program itu akan menumpu kepada tiga 'pemboleh' iaitu latihan kewangan, menguruskan risiko dan pemasaran.

J-Biotech telah membangunkan program bio-PKS bersama program-program lain supaya dapat menyokong antara satu sama lain dan terus menyediakan ekosistem yang lebih holistik.

Sehubungan itu, melihat kepada platform ASEAN, ia menyediakan potensi yang besar kepada keluaran PKS berasaskan bio bagi meluaskan pasaran dan pertukaran teknologi.

Wan Amir berkata demikian selepas melancarkan Pavilion Johor di persidangan BioMalaysia dan Bioekonomi ASEAN 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra pada Selasa.

Persidangan pada kali ini adalah penting bagi J-Biotech untuk mengetengahkan produk tempatan ke tahap yang lebih meluas.