KUALA LUMPUR:Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) telah menyediakan wang pelaburan sebanyak RM165 juta bagi membina dan membeli asrama dan kondominium yang lengkap untuk dijadikan kediaman pekerja baharu.

Ketua Kawalan Kewangan Top Glove, Melissa Cheoh berkata pelaburan tersebut akan disediakan untuk membeli dan membina infrastruktur di Banting dan Klang yang akan menampung 10,000 pekerja.

“Kami ingin membawa pekerja kami supaya tinggal lebih dekat dengan kilang kami di Meru, Klang.

“Pada ketika ini, kami sedang membina asrama baharu di Klang dan Banting. Kami juga telah menandatangani pembelian kondominium Kenanga Meru yang akan menampung 2,700 orang pekerja. Jadi, keseluruhannya dengan pembinaan di Banting, kami dapat menampung 6,900 orang pekerja dan 3,100 orang di Banting.

“Oleh itu, kami telah menyediakan jumlah keseluruhan sebanyak RM165,000,” kata Melissa pada sesi kunjungan hormat secara maya Top Glove bersama wakil kedutaan Bangladesh dan Nepal pada Jumaat.

BACA: Ambil lebih 9,000 pekerja tempatan, Top Glove hargai bakat anak muda

Turut hadir ialah Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Top Glove, Tan Sri Dr Lim Wee Chai; Ketua Pesuruhjaya Bangladesh ke Malaysia, Golam Sarwar; Kaunselor Buruh Kedutaan Nepal, Deepak Dhakal dan Pengarah Urusan Top Glove, Datuk Lee Kim Meow.

Selain itu, Melissa berkata RM30 juta lagi disediakan untuk memperbaiki keadaan kehidupan pekerja di lima negeri yang lain iaitu Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan dan Johor.

Dalam perkembangan yang sama, Dr Lim Wee Chai berkata pihaknya amat menitikberatkan kesejahteraan dan kesihatan pekerjanya kerana mereka merupakan tunjang utama dalam menjayakan matlamatnya untuk disenaraikan dalam firma Fortune Global 500 menjelang 2030.

"Kami komited untuk memastikan 21,000 pekerja Top Glove terus dijaga kebajikan dan keselamatannya.

“Komitmen kami kepada kakitangan dan pekerja kami, termasuk pekerja asing bukan sekadar menjaga kepentingan mereka, malah memberi impak positif dalam memastikan syarikat dapat terus mengeluarkan produk berkualiti,” kata Dr Lim.

Dalam pada itu, Golam Sarwar menyambut baik usaha Top Glove untuk menyediakan kediaman pekerja yang baik, terutamanya kepada pekerja asing dari Bangladesh. 

Sebelum ini, Top Glove telah melabur sebanyak RM70 juta untuk membina lebih 100 unit rumah dua tingkat dan asrama dengan kemudahan seperti kedai gunting rambut, mesin ATM, tempat beriadah, kedai dobi dan kedai runcit.