Tenaga Nasional Bhd (TNB) hari ini mengumumkan ia telah menyelesaikan pembelian 30 peratus pegangan dalam syarikat tenaga India, GMR Energy Limited (GEL), pada US$300 juta.

Pelaburan strategik dalam GEL akan dilaksanakan melalui anak syarikat milik penuhnya, Power and Energy International (Mauritius) Ltd (PEIM), menurut TNB dalam kenyataan di sini, hari ini.

Penyelesaian urus niaga itu menandakan penyertaan TNB dalam sektor tenaga India yang berkembang pesat dengan permintaan elektrik meningkat pada Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkumpul (CAGR) antara enam dan tujuh peratus, penambahan 20GW kapasiti baharu tahunan, jumlah yang sama dengan kapasiti terpasang semasa Malaysia.

Pembelian itu mengukuhkan pelaburan strategik dalam GEL yang mempunyai portfolio lima aset tenaga operasi di India, terdiri daripada arang batu, gas dan tenaga boleh diperbaharu dengan kapasiti terkumpul 4,630MW, menurut TNB.

Tambahan empat lagi aset tenaga sedang dibina di India dan Nepal dengan kapasiti terkumpul masa depan sebanyak 2,300MW.

Dalam kenyataan itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir Azman Mohd berkata pembelian 30 peratus pegangan dalam GEL oleh TNB merupakan pelaburan yang sangat strategik, bertujuan untuk memanfaatkan nilai masa depan pasaran tenaga India yang besar namun mempunyai bekalan terhad.

"Pertumbuhan permintaan tenaga dan ekonomi itu yang kukuh, ditambah dengan rangka kerja dasar tenaga yang baik menandakan urus niaga ini menawarkan peluang menarik kepada TNB dalam sektor tenaga di subbenua berkenaan dan mewujudkan kedudukan kukuh dalam pasaran tenaga India," katanya.

Beliau berkata pertumbuhan penjanaan tenaga adalah penting untuk kejayaan program pengindustrian 'Make In India' dan pembangunan bekalan tenaga baharu boleh dipercayai yang progresif akan diperlukan bagi menyokong penubuhan pangkalan pembuatan baharu di seluruh India.

"Pertumbuhan penggunaan tenaga elektrik ini adalah seiring dengan pelan hala tuju pengembangan antarabangsa TNB untuk memperoleh kapasiti generasi baharu luar negara.

"Kami yakin urus niaga ini mempunyai nilai komersial yang kukuh dengan meningkatkan daya saing kami, memaksimumkan nilai pemegang saham dan mencapai pertumbuhan perolehan jangka panjang yang mampan," kata beliau.

Sementara itu dalam kenyataan yang sama, Pengerusi GEL, G.B.S. Raju berkata, pelaburan TNB dalam GEL akan membawa kepada pembentukan sebuah pasaran terkemuka bagi menerajui platform tenaga India dengan peluang pertumbuhan dan peluasan.

TNB menjangkakan urus niaga itu, yang akan dibiayai oleh gabungan dana dalaman dan hutang luar, akan memberi peningkatan perolehan menjelang tahun kewangan 2018.

Penasihat kepada perjanjian berkenaan termasuk Credit Suisse (Penasihat Kewangan Eksklusif), Slaughter and May and Khaitan & Co (peguam penasihat) dan KPMG India Private Ltd (Penasihat Kajian Daya Maju Urus Niaga, Pengawalseliaan dan Komersial). -- Bernama