Tenaga Nasional Bhd (TNB) memeterai perjanjian bersyarat bagi melanggani saham-saham ekuiti baharu berharga AS$300 juta dalam GMR Energy Ltd (GEL) menerusi unitnya, Power and Energy International Ltd.

GEL adalah sebahagian daripada GMR Infrastructure Limited dan antara konglomerat terbesar prasarana di India.

Jumlah itu mewakili 30 peratus kepentingan ekuiti dalam GEL bagi perjanjian langganan bersyarat untuk melanggani saham-saham baharu dalam GMR.

Dalam kenyatannya kepada Bursa Malaysia pada Isnin, TNB berkata cadangan itu sejajar pelan hala tuju pengembangan antarabangsa syarikat itu selama lima tahun bagi memperolehi penjanaan baharu kapasitinya di peringkat global.

Menurutnya, pada masa pelaburan TNB, GEL akan merangkumi portfolio aset tenaga terbaik dalam kelasnya dengan jumlah kapasitinya menyeluruh 4,630 megawatt.

"India mempunyai unjuran ekonomi yang baik dan landskap politik serba stabil berserta kepesatan pertumbuhan sektor tenaga dan strategik bersesuaian dengan Malaysia. Ini sekali gus mewujudkan peluang pelaburan yang menarik.

"Negara itu turut memiliki pasaran dengan bekalan tenaga yang terhad dan permintaannya dipacu oleh pertumbuhan ekonomi. Ia membolehkan kita memanfaatkan pertumbuhan jangka panjang pasaran tenaga India," kata TNB.