KUALA LUMPUR: UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd secara rasmi melancarkan 16 kontrak niaga hadapan komoditi global patuh syariah pada Rabu, menjadikannya firma pembrokeran kedua di Malaysia yang menawarkan derivatif sedemikian.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, David Lim, berkata UOB Kay Hian menyokong penuh usaha Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia dalam memperkasakan pembangunan kewangan Islam khususnya dalam pasaran modal derivatif, dengan matlamat untuk menangani peningkatan permintaan bagi produk derivatif global patuh syariah,

"Kami percaya pelaburan patuh syariah memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan kewangan yang lebih adil, stabil, dan beretika, serta memastikan objektif syariah tercapai," katanya semasa ucapan perasmian di  Colony, KL Eco City Mall, Kuala Lumpur pada Rabu.

"Memandangkan pasaran derivatif patuh syariah sebelum ini terhad, pelancaran ini menawarkan rangkaian produk yang telah disemak dengan teliti, memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap prinsip syariah. Dengan ini, kami yakin produk ini akan membuka peluang baharu kepada pelabur, baik di Malaysia mahupun di peringkat global," tambah Lim.

Niaga hadapan komoditi patuh syariah yang ditawarkan oleh UOB Kay Hian didagangkan di pasaran global utama termasuk Bursa Malaysia Derivatives (BMD), New York Mercantile Exchange (Nymex), Chicago Board of Trade (CBOT), dan Bursa Saham Singapura (SGX).

"Ini memberikan pelabur lebih fleksibiliti dan pendedahan kepada pelbagai kelas aset yang telah disemak dengan teliti untuk memastikan pematuhan kepada prinsip Islam, sekaligus memastikannya dibenarkan di bawah undang-undang syariah. Dengan melabur dalam produk ini, pelabur boleh menyumbang kepada landskap kewangan yang lebih adil dan saksama," jelas Lim.

Derivatif yang ditawarkan termasuk niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) di Bursa Malaysia, minyak mentah manis ringan Nymex (CL), niaga hadapan minyak kacang soya di CBOT, dan niaga hadapan getah SICOM di SGX. Senarai penuh niaga hadapan komoditi global patuh syariah yang ditawarkan oleh UOB Kay Hian boleh didapati di laman webnya.

"Pelancaran ini adalah bukti komitmen UOB Kay Hian dalam menyediakan pelbagai pilihan pelaburan untuk memenuhi permintaan pelabur moden. Kami berharap inisiatif ini akan menarik lebih ramai pelabur, khususnya daripada masyarakat Bumiputera, dan menjadi pemangkin kepada inovasi dan pertumbuhan dalam sektor kewangan Islam," ujar Lim.