KUALA LUMPUR: MyDIGITAL Corporation (MyDIGITAL Corp) dan Bursa Malaysia Bhd memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) bertujuan memperkasakan syarikat awam tersenarai (PLC) di Malaysia untuk mencapai matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) masing-masing melalui penggunaan teknologi digital.

Berdasarkan MoC itu, MyDIGITAL Corp dan Bursa Malaysia akan meneroka pelbagai inisiatif termasuk menghasilkan bersama bahan penerbitan kepimpinan berwibawa, pertukaran amalan terbaik dan penganjuran Cabaran Inovasi ESG Centre4IR Malaysia.

MoC itu sejajar dengan usaha kerajaan melalui Kementerian Digital untuk menyokong syarikat dalam mempercepat usaha ESG menerusi transformasi digital.

Ini terutama melibatkan penekanan terhadap keperluan mengutamakan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dalam transformasi itu, membolehkan syarikat menangani cabaran mendesak.

Dalam ucaptama semasa majlis pemeteraian MoC itu pada Jumaat, Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata langkah itu merupakan bukti usaha transformasi digital negara yang sedang dilaksanakan.

Beliau berkata kerjasama itu juga menunjukkan komitmen kukuh kerajaan untuk menerapkan kemampanan dalam teras strategi pembangunan negara.

Menurut sebuah artikel oleh Forum Ekonomi Dunia, negara ini sedang mengambil langkah berani untuk menonjolkan Malaysia sebagai pemimpin dalam ruang ESG, katanya.

"Saya gembira apabila membaca keperluan Bursa Malaysia yang menetapkan PLC perlu mendedahkan amalan kemampanan melalui laporan tahunan mereka ada dalam artikel itu, malah artikel itu turut mengetengahkan Cabaran Inovasi ESG Centre4IR Malaysia.

"Artikel itu juga menambah bahawa inisiatif tersebut menunjukkan cara inovasi dan perkongsian boleh memacu kemajuan besar ke arah kemampanan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift berkata Cabaran Inovasi ESG Centre4IR Malaysia bertujuan membina momentum itu dengan membangunkan kerjasama antara syarikat dan syarikat pemula niaga yang menghasilkan manfaat bersama.

"Ia bertujuan menggalakkan penggunaan teknologi 4IR yang menyokong penerimagunaan ESG, menjana penggunaan praktikal yang meningkatkan kecekapan operasi dan keupayaan automasi proses di samping menyumbang kepada sasaran sifar bersih," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapa alu-aluan pada majlis itu.

Muhamad Umar berkata kalangan inovator dari seluruh dunia telah dijemput untuk menyertai cabaran itu dengan menghantar projek atau penyelesaian yang memanfaatkan teknologi digital seperti automasi, kecerdasan buatan dan analitik data untuk menyelesaikan penyataan masalah tertentu syarikat.

Lima PLC akan mengambil bahagian dalam cabaran itu iaitu CJ Century Logistics, Globetronics, Maybank, REDtone Digital dan Sunway Innovation Labs.

Beliau berkata penyertaan mereka menunjukkan komitmen bersama untuk memajukan objektif kemampanan dan menunjukkan cara perniagaan boleh bekerjasama untuk memacu perubahan.

Kemuncak Cabaran Inovasi ESG Centre4IR Malaysia akan diadakan pada 7 Nov, 2024 semasa Hari Demo di Bursa Malaysia, dengan lima idea yang paling berpotensi cerah akan menerima peluang pembiayaan projek rintis dan akses kepada rangkaian pemimpin industri dan pelabur.

-- BERNAMA