KUALA LUMPUR: Saham 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (KL:99SMART) mula diperdagangkan pada harga RM1.85, naik 12.1 peratus atau 20 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) RM1.65, di hari pertama penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia, pada Isnin.

Harga saham terus meningkat kepada RM1.91, dengan kenaikan 26 sen atau 15.76%, memberikan syarikat tersebut nilai pasaran sebanyak RM16.04 bilion berdasarkan modal terbitan sebanyak 8.4 bilion saham.

IPO 99 Speed Mart merupakan yang terbesar di Malaysia dalam tujuh tahun kebelakangan ini, berjaya mengumpul RM2.36 bilion, termasuk RM1.7 bilion daripada penjualan 1.028 bilion saham oleh pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lee Thiam Wah, serta isterinya, Ng Lee Tieng.

Tawaran awam melibatkan 400 juta saham baharu mengumpul RM660 juta, dengan perancangan kumpulan untuk menggunakan 59 peratus daripada hasil tersebut bagi pengembangan rangkaian cawangan, 15 peratus (pembangunan pusat pengedaran baharu), 8.3 peratus (pembelian trak penghantaran) dan 7.2 peratus (menaik taraf cawangan sedia ada).

CIMB Investment Bank bertindak sebagai penasihat utama, pengurus buku tunggal serta penaja jamin bersama bagi IPO ini, bersama Affin Hwang Investment Bank dan RHB Investment Bank sebagai penaja jamin bersama.

Tags: , Bursa Malaysia, IPO, pasaran saham