Anugerah ICT NEF-AWANI 2013 yang memperkenalkan tiga kategori baru, dilihat berjaya mencungkil lebih banyak bakat baru di dalam industri ICT negara, selain mengiktiraf sumbangan mereka di dalam bidang itu.

Tiga kategori baru yang dipertandingkan itu adalah kategori Perniagaan e-Dagang Terbaik, Kategori Usahawan ICT Wanita Terbaik serta kategori Selebriti ICT Pilihan, yang merupakan anugerah yang dipilih oleh orang ramai.

LagiSatu.com oleh Lagisatu Travel Sdn Bhd muncul pemenang kategori Perniagaan e-Dagang Terbaik yang dipertandingkan buat julung kalinya pada majlis yang berlangsung pada Jumaat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Faeez Fadhlillah berkata beliau amat teruja dengan kemenangannya itu.

"Ini adalah kali pertama kami memenangi anugerah tempatan. Sebelum ini kami hanya memenangi anugerah dari luar negara.

"Kami mempunyai motivasi yang tinggi untuk memberi perkhidmatan yang terbaik lebih-lebih lagi selepas memenangi pertandingan ini," katanya.

Kategori Usahawan ICT Wanita terbaik dimenangi oleh Nuraizah Shamsul Baharin dari Madcat World Sdn Bhd manakala kategori Selebriti @ICT Tempatan Pilihan Ramai dimenangi oleh Datuk Siti Nurhaliza.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menyampaikan sebahagian daripada anugerah NEF-AWANI menyeru semua usahawan Bumiputera untuk meningkatkan usaha, daya saing dan servis bukan sahaja di Malaysia tetapi di luar negara.

"Sebagai usahawan tekno yang berjaya, anda semua adalah pendukung kepada dasar transformasi negara ke arah mencapai negara berpendapatan tinggi," katanya semasa membacakan ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang tidak dapat hadir.

Anugerah NEF-AWANI yang berlangsung di Hotel Empire di sini memberi penghargaan dalam 14 kategori ICT dan Pilihan Ramai termasuk Anugerah Khas NEF-AWANI Tun Dr Mahathir yang dimenangi oleh Azrul Rahim.

Anugerah ICT NEF-AWANI, yang dianjurkan oleh Persatuan Usahawan dan ICT Bumiputera Malaysia (NEF) dan Astro AWANI, adalah satu anugerah yang bersifat inklusif.

Selain memberikan pengiktirafan kepada syarikat ICT tempatan, ia turut memberi penghargaan kepada syarikat-syarikat yang menggunakan ICT sebagai teras perniagaan mereka.

Orang ramai dipelawa untuk mencadangkan calon-calon dan orang ramai juga dijemput untuk mengundi calon pilihan mereka di laman Joota Anugerah ICT NEF-AWANI.

Pemenang untuk kategori ICT dipilih berdasarkan 10 peratus undian orang ramai dan 90 peratus undi para juri. Manakala pemenang bagi kategori pilihan rakyat dipilih 100% daripada undian orang ramai.

Klik untuk melihat senarai penuh calon dan pemenang Anugerah ICT NEF-AWANI 2013.