KUALA LUMPUR:Tawaran jawatan kepada mana-mana individu tidak akan menjejaskan keyakinan pasaran terhadap Petronas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menurutnya, ini berikutan kedudukan Petronas sebagai sebuah syarikat yang diuruskan dengan baik serta diterajui oleh pasukan pengurusan yang cekap.

"Keyakinan pasaran serta para pelabur bergantung kepada pelbagai faktor seperti pertumbuhan ekonomi negara dan perdagangan dunia yang sangat terkesan dengan krisis pandemik COVID-19 yang sedang melanda dunia.

"Faktor ini ditambah lagi dengan kejatuhan teruk harga minyak mentah dan perang perdagangan China dan Amerika Syarikat," katanya dalam jawapan bertulis di sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) mengenai prestasi Petronas yang merosot, impak kepada negara dan sama ada benar mengenai tawaran jawatan pengerusi Petronas kepada Ahli Parlimen Gua Musang berdasarkan satu transaksi politik yang akan menjejaskan keyakinan pasaran terhadap syarikat itu.

Menurut Mustapa, Petronas akan terus meninjau peluang dan portfolio perniagaan baharu bagi memantapkan lagi daya tahan dalam berdepan persekitaran pasaran global yang amat mencabar terutama membabitkan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan tenaga angin.

"Keadaan pasaran yang mencabar dan tidak menentu ini dijangka akan berterusan sehingga separuh kedua 2020. Unjuran oleh Rystad Energy pada April 2020 menjangkakan syarikat minyak dan gas global akan kehilangan pendapatan sebanyak US$1 trilion pada tahun ini berikutan keadaan pasaran semasa.

"Dalam hal ini, sebagai syarikat minyak dan gas negara, Petronas terus komited terhadap usaha mempertahankan aliran pendapatan dan mengoptimumkan kos. Ini bagi mengimbangi kesan negatif situasi harga minyak rendah terhadap keuntungannya dan pada masa sama menjaga kepentingan strategik negara," katanya.

-- BERNAMA