Sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada sektor automotif dijangka naik dua kali ganda berbanding empat peratus yang direkodkan semasa 2017, berikutan pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Dr Mohd Hatta Ramli.

Beliau berkata sektor tersebut berada di landasan yang betul untuk menyumbang 10 peratus kepada KDNK menjelang 2020.

Pada 2016, sektor ini menyumbang sebanyak 3.6 peratus atau RM40 bilion kepada KDNK.

"Sumbangan semasa sebanyak empat peratus adalah tidak besar tetapi penting, dan dengan harga kereta yang lebih rendah sekarang ini, kami menjangka bilangan kenderaan yang dijual akan meningkat dan seterusnya, memanfaatkan industri," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran pogram Pemupukan Perindustrian Malaysia Jepun (MAJIN) oleh Kolej Automotif TOC di sini pada Jumaat.

Sekurang-kurangnya lima pembuat kereta iaitu Perodua, Honda, Toyota, BMW dan Volkswagen telah mengurangkan harga sehingga RM4,900 berikutan pelaksanaan SST.

Beliau juga berkata pembangunan ekosistem vendor automotif di negara ini melalui program-program modal insan dan pemindahan teknologi akan memberikan kesan limpahan kepada industri-industri bernilai tinggi yang lain seperti teknologi aeroangkasa, perkapalan, rel dan hijau.

"Ini akan memastikan daya saing serta kemampanan vendor tempatan tanpa terlalu bergantung kepada pengeluar peralatan asli tempatan seperti Proton dan Perodua.

"Kami juga menjangka permintaan swasta domestik dan eksport akan melonjak disebabkan oleh perdagangan global yang bertambah baik," katanya.

Mengenai perkara itu, Mohd Hatta berkata Malaysia sedang berhadapan dengan cabaran kekurangan pekerja mahir, dan beliau menyeru golongan muda untuk mendapatkan kemahiran, sikap, kefahaman serta pengetahuan yang berkaitan dengan pekerjaan dalam pelbagai sektor ekonomi.

Sementara itu, program MAJIN bertujuan bagi melahirkan juruteknik automotif dengan pengalaman dan kepakaran antarabangsa.

Di bawah program ini, pelajar akan ditempatkan di Jepun selama dua tahun selepas menamatkan kursus 20 bulan.

-- BERNAMA