Sektor perbankan dijangka menyaksikan pertumbuhan menggalakkan, terutama dalam segmen pengguna dan PKS melalui Belanjawan 2019, kata Pengerusi Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM), Datuk Abdul Farid Alias.

Beliau berkata, cabaran untuk kerajaan adalah untuk melaksanakan belanjawan dengan baik dan boleh bertindak balas kepada perubahan keadaan pasaran dengan cepat.

Abdul Farid yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank berkata, belanjawan itu adalah satu tindakan yang sukar untuk diimbangi.

"Selain itu, ia perlu merangsang negara kepada pertumbuhan menggalakkan dalam persekitaran yang dikekang ketidaktentuan global daripada perang perdagangan antara AS dan China dan pada masa sama memberikan bantuan, terutama kepada B40 serta memastikan laluan ke arah sifar defisit fiskal," katanya.

Beliau berkata, langkah-langkah untuk mengukuh dan memperbaharui pengurusan kewangan awam serta meningkatkan pendapatan cukai adalah sejajar dengan trend global semasa dalam meningkatkan pematuhan cukai serta perkhidmatan cukai, kekayaan dan ekonomi digital.

Menurut Abdul Farid, pembaharuan fiskal dan langkah-langkah meningkatkan pendapatan diseimbangkan dengan insentif dan perbelanjaan yang mengutamakan pertumbuhan dan rakyat, dengan memberi tumpuan kepada menyokong dan mempromosi perusahaan kecil dan sederhana, keusahawanan digital dan penggunaan teknologi serta aktiviti bersasar seperti Hab Prinsipal untuk merangsang pelaburan swasta, produktiviti dan daya saing.

"Kami melihat sektor swasta sebagai pemenang terbesar belanjawan ni dengan pelbagai langkah, daripada peruntukan khusus untuk bekalan dan pembiayaan pembelian perumahan mampu milik kali pertama, serta pengecualian duti setem dan pendanaan awam hartanah bagi membantu industri menangani bekalan tidak terjual dan meletakkannya di jalan menuju pertumbuhan mapan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia, Tan Sri Azman Hashim berkata, rancangan kerajaan untuk memperkenalkan semula dasar Malaysia Incorporated dilihat mempunyai pemikiran baru.

"Sektor awam perlu memberi tumpuan kepada sumbangan nilai tambah kepada nilai komersial dan ekonomi dan menjadi pemudah cara yang membina dengan menyediakan persekitaran dasar yang lebih baik.

"Ia termasuk melabur dalam pembentukan modal insan dan pendidikan, liberalisasi pasaran dan institusi pengukuhan, sementara sektor swasta perlu membuang minda "keadaan berjalan seperti biasa ".

"Kami mengalu-alukan langkah kerajaan untuk meningkatkan produktiviti dengan menggalakkan lebih banyak PKS mengguna pakai teknologi baru dalam platform digital seperti e-dagang, perdagangan mudah alih dan perdagangan sosial melalui Industri 4.0, kerana ia akan meningkatkan pendapatan mereka, membuka pasaran baru, meningkatkan sokongan dan pengalaman perkhidmatan pelanggan," katanya.

Azman juga menyambut baik keutamaan kerajaan untuk terus memberi tumpuan kepada menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan penjawat awam yang berkualiti.

"Pesawah padi, petani, pekebun kecil, nelayan, dan lain-lain dalam bidang pertanian juga diberi perhatian dengan langkah-langkah yang akan membantu mengurangkan penurunan pendapatan darupada harga komoditi yang lemah," katanya.

-- BERNAMA