Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan meneruskan usaha bagi mencapai pertumbuhan industri pengurusan dana untuk jangka panjang, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

Bercakap di majlis Anugerah Dana The Edge Thomson Reuters Lipper 2017 di sini, hari ini, beliau berkata usaha yang dipacu oleh kalangan penggiat industri mengukuhkan firma masing-masing, penawaran produk serta amalan melibatkan kepentingan pelanggan, ternyata membantu industri berkenaan mencatat perkembangan memberangsangkan sejak beberapa tahun lepas.

"Sehubungan itu, bagi kemajuan masa depan, inisiatif pembangunan demi merancakkan pertumbuhan itu akan terus dijalankan, termasuk pelaksanaan Pelan Induk Dana dan Pengurusan Kekayaan Berlandaskan Syariah yang dilancarkan pada 12 Jan, 2017," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Fairuz berkata pelan induk itu bertujuan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab global dana-dana Islam selain memajukan negara ini sebagai penyedia antarabangsa perkhidmatan pengurusan kekayaan berlandaskan Syariah.

Selain itu, katanya, antara pemacu utama strategi pembangunan SC yang relevan dengan industri pengurusan dana adalah agenda pendigitalan merangkumi pelbagai segmen pasaran modal, termasuk pengurusan dana.

"Antara inisiatif awal yang akan dilaksanakan pada 2017 adalah berkaitan dengan kerangka perkhidmatan pelaburan digital. Maklumat lanjut mengenainya akan diumumkan kelak.

"Salah satu aspek agenda pembangunan berteraskan digital ini adalah tumpuan bagi mengenal pasti serta menangani risiko keselamatan siber. Malah, ia sudah diperincikan dalam Garis Panduan Pengurusan Risiko Siber SC yang dikeluarkan pada Oktober, 2016," katanya.

Ahmad Fairuz juga menyifatkan kalangan penggiat industri pengurusan dana berperanan penting bagi meningkatkan tahap kesedaran pelabur dan pendidikan di Malaysia menerusi pelbagai inisiatif bebas serta penyertaan secara konsisten dalam pelbagai program mendekati golongan berkaitan.

"Program seumpamanya itu amat penting bagi memastikan bahawa penambahbaikan bagi keberkesanan penyebaran maklumat sewajarnya, dapat dilakukan seiring dengan peningkatan permintaan maklumat oleh pelabur yang komited serta berpengetahuan," katanya.

Jelasnya, ini sejajar penekanan SC terhadap kepercayaan awam serta keyakinan para pelabur.

Malah, tegasnya, sebarang usaha penerapan kepercayaan awam dan keyakinan pelabur itu merupakan asas bagi mana-mana pasaran modal menangani gelombang jangka pendek tanpa menjejaskan sasaran pertumbuhan jangka panjang.

Menurutnya, biarpun tempoh beberapa tahun lepas amat mencabar bagi ekonomi global, industri pengurusan dana sebaliknya terus melakar pencapaian dari segi pertumbuhan positif.

"Kemampuan industri menangani cabaran itu jelas memaparkan perkara penting, termasuk sejauh mana keyakinan pelabur untuk terus melihat (prospek) unit-unit dana amanah, khususnya sebagai sumber meraih pulangan lebih kukuh," katanya.

Sementara itu, majlis anugerah yang dianjurkan bersama oleh media tempatan, The Edge Media Group dan Lipper iaitu sayap analisis dana penyedia berita antarabangsa, Thomsons Reuters, bertujuan mengiktiraf dana-dana unit amanah Malaysia yang cemerlang pada tahun lepas.

-- BERNAMA