KUALA LUMPUR: Malaysia terus memperkukuh hubungan dua hala dengan negara-negara luar dalam usaha mencapai matlamat transformasi digital negara, selaras pelancaran dasar penting seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030).


Ringkasan AI
  • Malaysia memperkukuh hubungan dua hala dengan negara-negara luar melalui dasar seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), membuka peluang kerjasama strategik, termasuk dengan Rusia.
  • Teknologi Rusia, terutama dalam keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor kesihatan, menawarkan potensi besar untuk diterokai Malaysia, membantu memperkukuh ekosistem digital tempatan dan menjadikan Malaysia hab utama industri penjagaan kesihatan serantau.
  • Era pascapandemik menyediakan platform kondusif untuk meningkatkan hubungan dua hala, dengan kerjasama teknologi membawa inovasi baharu ke pasaran tempatan dan meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global.


Presiden Persatuan Elektrik dan Elektronik Malaysia (TEEAM) Ir Chang Yew Cheong, berkata dasar-dasar ini bukan sahaja memacu pembangunan teknologi tinggi, malah membuka peluang kepada Malaysia untuk menjalin kerjasama strategik dengan negara-negara yang memiliki kepakaran teknologi, termasuk Rusia. 

"Teknologi Rusia, yang diakui maju dalam beberapa sektor, menawarkan potensi besar untuk diterokai Malaysia. Salah satu bidang yang mendapat perhatian ialah keselamatan siber, komponen penting dalam era digital.

"Walaupun pusat data di Malaysia kini didominasi oleh pemain dari Amerika Syarikat, Eropah, dan China, kerjasama dengan Rusia boleh menjadi alternatif strategik untuk memperluaskan perkhidmatan industri, sekali gus memperkukuh ekosistem digital tempatan," jelasnya.

Menurut beliau, kecerdasan buatan (AI) dalam sektor kesihatan juga dilihat sebagai bidang yang berpotensi untuk kerjasama erat.

"Penggunaan AI untuk meningkatkan rawatan perubatan di Rusia sangat tinggi, yang mana ia selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab utama industri penjagaan kesihatan serantau.

"Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk menarik negara-negara jiran mendapatkan rawatan perubatan berasaskan teknologi tinggi, menjadikan sektor ini sebagai sumber ekonomi baharu yang berdaya saing," tambah beliau ketika ditemui pada hari kedua Forum Perniagaan Antarabangsa “World of Opportunities: Russia-ASEAN, di sini.

Kata Chang, era pascapandemik turut menyediakan platform yang kondusif untuk meningkatkan hubungan dua hala.

"Dengan ekonomi global yang mula pulih dan sempadan yang dibuka, terdapat peluang besar bagi Malaysia untuk memperkukuh kedudukan sebagai pemain utama dalam teknologi digital.

"Kerjasama teknologi dengan negara seperti Rusia bukan sahaja dapat membawa inovasi baharu ke dalam pasaran tempatan, tetapi juga meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global. 

Katanya, menerusi program yang dianjurkan oleh Roscongress Foundation ini, kerajaan disarankan untuk terus memanfaatkan hubungan diplomatik yang kukuh dalam memajukan transformasi digital negara.

"Dengan pelaburan strategik, promosi inovasi, dan kerjasama antarabangsa yang terancang, Malaysia berpotensi mencapai visi sebagai negara digital yang unggul di rantau ini dan dunia," jelasnya.