Ringkasan AI
- Roblox didakwa menipu jumlah pemain antara 25-43% dan menaikkan masa bermain sehingga 100% berbanding angka sebenar.
- Roblox dikatakan tidak mengendahkan keselamatan pemain kanak-kanak, membenarkan mesej seksual dan permintaan gambar tidak senonoh daripada pemangsa dewasa.
- Roblox telah mengeluarkan kenyataan menyangkal dakwaan Hindenburg Research, menyatakan bahawa laporan tersebut mengelirukan dan syarikat sentiasa mementingkan keselamatan pengguna bawah umur.
Dalam laporan yang diterbitkan oleh firma penyelidikan Hindenburg Research, Roblox didakwa menipu jumlah pemain antara 25-43% berbanding angka sebenar sementara masa bermain pula dinaikkan sehingga 100% berbanding situasi sebenar.
Antara yang didakwa dilakukan oleh Roblox ialah tidak mengira pelbagai akaun yang dimiliki seorang individu sebagai satu akaun sahaja.
Roblox turut didakwa boleh mengesan pemilik dengan lebih daripada satu akaun tetapi enggan membezakannya dengan jumlah sebenar pemain.
Lebih merisaukan bagi golongan ibu bapa dan penjaga ialah Roblox turut dikatakan tidak mengendahkan keselamatan pemain kanak-kanak dalam platform demi memacu perkembangan jumlah pengguna.
Walaupun 21% pemain Roblox ialah kanak-kanak bawah umur, sekatan kandungan yang tidak serasi dengan umur tidak dilakukan dengan serius.
Akibatnya golongan pemangsa dewasa masih boleh menghantar mesej seksual dan meminta gambar tidak senonoh daripada pemain bawah umur.
Nama pemain juga tidak disaring dengan wujud akaun menggunakan nama seakan pengamal pedofilia terkemuka Jeffrey Epstein.
Dengan kesemua dakwaan di atas, Roblox didakwa cuba menggembirakan pelabur dan sekali gus memastikan saham syarikat tidak akan terjejas.
Roblox telahpun mengeluarkan kenyataan menyangkal dakwaan Hindenburg Research. Menurut mereka laporan yang dikeluarkan adalah mengelirukan dan syarikat sentiasa mementingkan keselamatan pengguna bawah umur.
Sebelum ini Hindenburg Research telah membongkar penipuan dalam firman Adani Group dan Nikola Corporation yang menyebabkan tokoh utama syarikat dihadapkan ke mahkamah. -Amanz