Ketua Ahli Ekonomi AMRO Hoe Ee Khor berkata Malaysia menarik aliran masuk modal yang besar, dan beberapa syarikat pelaburan Malaysia membawa pulang pendapatan pelaburan masing-masing yang turut membantu menyokong mata wang itu.
"Seiring dengan itu, penurunan kadar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) memainkan peranan. Antara pemacu utama kadar pertukaran adalah dagangan bawaan, yang menunjukkan perbezaan antara kadar faedah AS dan kadar dasar Malaysia.
"Perbezaan kadar ini telah mengecil, sekali gus menyokong ringgit," katanya semasa pengumuman mengenai perkembangan sukuan terkini AMRO dalam Tinjauan Ekonomi Serantau ASEAN+3 (AREO), yang diadakan secara maya hari ini.
Walaupun terdapat penyusutan yang kecil baru-baru ini berikutan isyarat bahawa Rizab Persekutuan AS mungkin menghentikan penurunan kadar yang selanjutnya, AMRO kekal optimis mengenai daya tahan berterusan ringgit.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.1735/1985 berbanding dolar AS daripada 4.1730/1790 semasa ditutup semalam.
Mengulas mengenai unjuran itu, Hoe berkata prospek ekonomi Malaysia kekal menggalakkan, dengan unjuran pertumbuhan kekal teguh.
Menurutnya kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia dijangka kekal pada 4.7 peratus, dengan potensi meningkat kepada 4.9 peratus, dipacu oleh pelaburan yang kukuh dan inflasi rendah.
Beliau menekankan bahawa keupayaan Malaysia untuk menarik pelaburan langsung asing yang besar menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara, dan mungkin melebihi sasaran pertumbuhan sekiranya pelaksanaan pelaburan mengukuh melebihi unjuran semasa.
Dengan keyakinan bahawa realisasi pelaburan adalah lebih teguh berbanding jangkaan, Malaysia boleh melebihi unjuran pertumbuhannya, melakukan persediaan untuk pengembangan ekonomi yang lebih tinggi dalam masa terdekat, kata Hoe.
Ketika Malaysia bersiap sedia untuk pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober ini, Hoe menyarankan kerajaan untuk lebih menumpukan kepada pembinaan semula ruang fiskal dan meningkatkan daya saing ekonomi.
Beliau berkata Malaysia mengalami defisit yang besar semasa pandemik, mengurangkan rizab fiskal manakala nisbah hutangnya pada masa ini adalah tinggi.
"Terdapat peluang yang baik untuk memperkukuh dan merasionalkan subsidi yang dilaksanakan untuk mengawal inflasi.
"Subsidi ini pada masa ini sewajarnya lebih bersasar memandangkan sebelum ini ia adalah menyeluruh. Dengan cara itu, Malaysia boleh membantu membina semula ruang fiskalnya," katanya.
Hoe berkata satu lagi bidang yang boleh diberikan tumpuan oleh kerajaan adalah meningkatkan perbelanjaan pelaburan bagi menambah daya saing ekonomi.
Malaysia pada masa ini sedang berusaha untuk meningkatkan rantaian nilai dalam sektor pembuatan, dan kerajaan telah mengumumkan rancangan untuk pelaburan yang lebih besar dalam infrastruktur, terutamanya untuk menaik taraf sektor elektronik.
"Terdapat kekurangan dalam tenaga kerja mahir, dan ini satu lagi bidang yang kami yakin banyak lagi yang kerajaan boleh laksanakan (untuk mengatasi jurang ini) dan memenuhi permintaan ekonomi yang sedang berkembang," katanya.
-- BERNAMA