KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran penurunannya apabila ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini memasuki hari kelima berturut-turut berikutan sentimen berwaspada susulan Rizab Persekutuan (Fed) dijangka menaikkan Kadar Dana Fed sebanyak 25 mata asas minggu ini, kata penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berkurangan kepada 4.5640/5690 berbanding dolar AS daripada 4.5600/5655 sewaktu ditutup pada Jumaat.

Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akan diadakan pada 25-26 Julai.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Bank of Japan dijangka mempunyai pendirian monetari yang ultra akomodatif dengan kawalan keluk hasil diramalkan kekal tidak berubah.

"Ini akan menyebabkan dolar AS menyerlah berbanding mata wang tempatan," katanya kepada Bernama.

Selain itu, beliau berkata data Indeks Harga Pengguna Malaysia yang terkini menunjukkan Bank Negara Malaysia tidak perlu mengambil langkah segera untuk meningkatkan sasaran Kadar Dasar Semalaman berikutan kadar faedah sebenar yang positif dalam tempoh dua bulan berturut-turut.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama sewaktu ditutup hari ini.

Mata wang itu mengukuh berbanding euro kepada 5.0578/0634 daripada 5.0735/0796 sewaktu ditutup pada Jumaat, menokok berbanding pound Britain kepada 5.8556/8620 daripada 5.8669/8740, namun turun berbanding yen Jepun kepada 3.2307/2345 daripada 3.2185/2229 sebelum ini.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang Asean lain.

Ringgit merosot berbanding peso Filipina kepada 8.35/8.37 daripada 8.33/8.34 pada Jumaat, turun berbanding rupiah Indonesia kepada 303.6/304.2 daripada 303.4/303.9 dan menyusut berbanding baht Thailand kepada 13.2417/2623 daripada 13.2327/2541.

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4287/4328 daripada 3.4304/4350 sebelum ini.

-- BERNAMA