GEORGE TOWN: Pulau Pinang kekal sebagai negeri pengeksport utama Malaysia bagi tempoh Januari hingga Mei 2024 dengan nilai RM177.99 bilion, kata Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata pada tahun lepas, Pulau Pinang menyumbang 30.5 peratus atau RM434.74 bilion daripada jumlah keseluruhan eksport negara.

"Antara produk utama yang berjaya mencatat pertumbuhan eksport yang positif ialah litar elektronik bersepadu, injap dan tiub lain, pesawat udara dan kelengkapan serta alat ganti, timah dan bukan aloi.

"Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Pulau Pinang berada di tempat teratas dari segi pelaburan dengan nilai RM71.9 bilion pada tahun lepas," katanya kepada pemberita di majlis Hari Eksport 2024 Pulau Pinang di Bayan Lepas yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Reezal turut memaklumkan eksport negara telah melebihi RM1 trilion selama tiga tahun berturut-turut dan bagi enam bulan pertama tahun ini, ia telah meningkat sebanyak 3.9 peratus kepada RM731.11 bilion manakala lebihan dagangan sebanyak RM66.12 bilion.

Mengulas lanjut, beliau berkata mengikut pangkalan data pengeksport MATRADE sehingga 30 Jun lepas, sebanyak 13,018 syarikat tempatan telah berdaftar dengan perbadanan itu dengan 958 atau 7.4 peratus dari jumlah tersebut adalah terdiri daripada syarikat di Pulau Pinang.

Katanya daripada jumlah itu, sebanyak 786 atau 82 peratus adalah bertaraf perusahaan kecil dan sederhana (PKS) manakala selebihnya adalah syarikat peringkat pertengahan (Mid-Tier) dan syarikat besar.

Beliau berkata antara keistimewaan syarikat-syarikat berdaftar dengan MATRADE ialah mereka akan menerima khidmat nasihat perdagangan, akses kepada risikan pasaran dan maklumat perdagangan, pendedahan kepada program pembangunan seperti latihan dan bengkel-bengkel berkenaan eksport, serta peluang untuk mengambil bahagian dalam aktiviti promosi yang dianjurkan.

Sementara itu, Reezal juga berkata perlu ada fokus untuk mewujudkan lebih banyak syarikat peringkat pertengahan kerana ia turut memberi manfaat kepada syarikat-syarikat PKS. Ketika ini terdapat 9,000 syarikat peringkat pertengahan di seluruh negara.

Beliau juga berkata Malaysia tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pasaran tradisional dan perlu mencari pasaran baharu yang sedang berkembang seperti di Afrika Utara dan Timur Tengah.

Dalam hal ini, kerajaan diminta untuk mempertimbangkan insentif bagi menggalakkan penembusan ke pasaran-pasaran baharu tersebut, katanya.

Hari Eksport 2024 Pulau Pinang yang bermula hari ini sehingga esok adalah untuk mempertingkatkan kebolehan eksport pemain-pemain industri negeri terutamanya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)

Ia dianjurkan oleh MATRADE bersama kerajaan Negeri Pulai Pinang melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Pulau Pinang (PDC), dengan kerjasama strategik Affin Bank Berhad, Alibaba.com., Exim Bank Malaysia, FedEx Malaysia serta Maybank Islamic Berhad.

-- BERNAMA