Beliau berkata pada masa ini sebanyak 53 syarikat China beroperasi di Pulau Pinang iaitu masing-masing 46 terlibat dalam bidang pembuatan, lima dalam perkhidmatan perniagaan global manakala dua lagi dalam segmen logistik.
"Hubungan lama kita dengan China terus kukuh, terutama dalam bidang perdagangan dan pelaburan.
"Dalam tempoh 10 tahun (2014-2023), Pulau Pinang mencatat sejumlah RM13.2 bilion (6.8 peratus daripada jumlah pelaburan langsung asing (FDI) diluluskan membabitkan pelaburan pembuatan dari China dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun 50.5 peratus," katanya pada majlis meraikan ulang tahun ke-75 penubuhan Republik Rakyat China di sini, malam ini.
Chow berkata Pulau Pinang akan terus mengalu-alukan pelaburan strategik dari China dalam sektor yang digalakkan, khususnya yang dapat menjana kesan pengganda dari segi kaitan ekosistem, nilai tambah tinggi, pendedahan rantaian nilai global serta peluang penyetempatan rantaian bekalan.
Menyentuh bidang pelancongan, beliau berkata dalam tempoh lapan bulan pertama 2024, Pulau Pinang menerima masing-masing 74,891 dan 8,391 pelawat China melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan Terminal Kapal Pesiaran Swettenham Pier (SPCT).
"Ini merupakan peningkatan ketara berbanding tempoh masa sama pada tahun lepas iaitu masing-masing 21,529 (PIA) dan 5,819 (SPCT). Sehubungan itu, faktor-faktor ini terus menjadi asas kepada kerjasama kukuh kita," katanya.
Sementara itu Konsul Jeneral China di Pulau Pinang Zhou Youbin berkata Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak telah menyaksikan kemajuan berterusan kerjasama ekonomi dan perdagangan dua hala di rantau ini dengan aliran perusahaan China terus hadir melakukan tinjauan pelaburan ke negeri-negeri itu.
Pada masa sama, katanya, perusahaan China yang sudah beroperasi di daerah konsular itu juga memutuskan untuk meningkatkan pelaburan dan mengembangkan perniagaan bagi menyokong kemajuan ekonomi tempatan.
Zhou berkata dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, perdagangan dua hala China-Malaysia melonjak kepada US$135.23 bilion (US$1=RM4.155) yang juga peningkatan 11 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia serta sumber FDI utama dan tahun lepas menyaksikan China antara lima sumber pelaburan asing terbesar Malaysia dengan jumlah pelaburan bernilai US$3.15 bilion.
-- BERNAMA