KUALA LUMPUR: Seramai 15,734 usahawan yang dilatih melalui 366 program latihan dan bimbingan keusahawanan yang diadakan secara dalam talian sehingga akhir Julai lepas sudah melepasi sasaran tahunan Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN).

Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, ia hasil usaha agensi itu dalam membantu usahawan meningkatkan skala perniagaan walaupun sedang menghadapi pandemik COVID-19.

Jelasnya, laporan menunjukkan RM5.6 juta hasil jualan dapat ditingkatkan melalui tujuh program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) dan dua program Online Onboarding Coaching Program (EBoard) yang telah tamat.

"Kita tidak pernah berhenti menghulurkan bantuan kepada usahawan melalui program bimbingan dan latihan keusahawanan bagi memastikan usahawan dapat meningkatkan skala perniagaan walaupun sedang menghadapi pandemik COVID-19.

"Kita turut menggesa usahawan untuk memperbaiki Business Model sebagai perkara asas paling utama selain terus menguasai ilmu keusahawanan yang lain seperti jualan dan pemasaran.

"Semakan Business Model ini boleh dibuat dengan menyertai Program Online Biz Plan Review anjuran INSKEN," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

BACA: Total Lockdown: INSKEN perkasa e-BizClinic bantu usahawan

BACA: 
Hampir gulung tikar, usahawan ini nekad ubah nasib dengan ceburi perniagaan digital

Dalam pada itu katanya, INSKEN juga telah berjaya melaksanakan lapan program Online Onboarding Coaching Programme (E-Board) sehingga Julai 2021 dalam usaha kerajaan untuk mempersiapkan usahawan ke arah ekonomi digital.

"Dua program E-Board yang sudah tamat telah mencatatkan peningkatan jualan melebihi RM300,000 manakala enam lagi program masih sedang berjalan.

"E-Board merupakan sebuah program bimbingan yang direka khas untuk meningkatkan jualan dengan menggunakan platform secara atas talian seperti Facebook, WhatsApp, TikTok, Instagram dan banyak lagi," ujarnya.

Selain itu katanya, INSKEN turut mensasarkan pelaksanaan 13 program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) pada tahun ini.

"Sasaran tersebut bukan sahaja telah dicapai, malah 23 program IBBC berjaya dijalankan secara atas talian sehingga Julai 2021 dan sekali gus melebihi sasaran tahun 2021.

"Kecemerlangan program ini juga terbukti apabila RM5.3 juta peningkatan hasil jualan tercipta daripada tujuh program IBBC yang telah tamat sehingga Julai 2021.

"IBBC merupakan program bimbingan selama empat bulan mengikut industri ini turut diukur keberkesanannya melalui pencapaian minimum 20 peratus peningkatan jualan selepas tamat program," jelasnya.

Sementara itu Firdaus menambah, pendekatan mengambil tahu realiti sebenar industri masing-masing haruslah diambil berat oleh setiap usahawan agar tidak terpesong dari keadaan semasa.

"Situasi perniagaan bagi setiap industri adalah berbeza, maka wajarlah usahawan berusaha memajukan perniagaan berdasarkan keadaan atau permintaan dari industri masing-masing.

"Usahawan juga harus peka dengan perkara asas yang boleh memberi impak besar terhadap perniagaan," katanya.

Selain program bimbingan, INSKEN turut melaksanakan program latihan selama dua hari melalui INSKEN Business Training (IBT).

Program berasaskan topik digital telah diperbanyakkan sebagai salah satu usaha untuk membantu usahawan membuat transformasi perniagaan daripada konvensional kepada digital.

Katanya, usahawan sudah mulai sedar kepentingan transformasi ke arah digital dan INSKEN tidak pernah jemu untuk membantu usahawan kekal bertahan melalui usaha memperbanyakkan program latihan pendigitalan.

"Hasil kaji selidik Impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap lanskap keusahawanan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), 48.31 peratus usahawan sudah menjalankan perniagaan secara atas talian sehingga akhir Jun 2021.

"Situasi ini dapat dilihat apabila program INSKEN Business Training semakin mendapat sambutan yang amat baik. Sehingga Julai 2021, 13,387 usahawan telah mendapat manfaat daripada 290 program latihan yang dijalankan.

"Melihat kepada permintaan semakin tinggi, program IBT juga ditambah dari semasa ke semasa yang merangkumi latihan kepada semua kategori usahawan," katanya lagi.