KUALA LUMPUR: Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) mencatat sejarah tersendiri apabila merekodkan peningkatan hasil jualan berjumlah RM437,000 melalui program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) Edisi Sarawak 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, kejayaan terbaharu itu melibatkan seramai 56 usahawan daripada dua industri iaitu Kafe dan Restoran serta Jualan Pasar Raya (Makanan & Minuman).

Menurutnya, program tersebut juga berjaya mencapai objektif ditetapkan apabila lebih separuh daripada jumlah peserta program dapat meningkatkan hasil jualan perniagaan di antara 20 peratus hingga melebihi 100 peratus.

“Dalam masa sama, sebanyak 15 pekerjaan baharu dicipta dalam tempoh empat bulan program tersebut dijalankan yang merupakan inisiatif secara komprehensif hasil kolaborasi strategik bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

“Program IBBC ini dilengkapi dengan aspek latihan dan bimbingan secara holistik. Peserta dipantau bagi memastikan skala serta kemahiran perniagaan dapat ditingkatkan untuk berdepan pelbagai cabaran mendatang,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, lebih manis apabila kejayaan itu dicapai selepas hanya empat bulan program itu dijalankan bersama semua peserta.

“Program ini bertujuan memberikan panduan kepada usahawan tempatan untuk mengembang dan melonjakkan prestasi perniagaan selain mereka berpeluang untuk belajar dan menguasai teknik menguruskan perniagaan dengan lebih berkesan.

“Hasilnya, ada peserta yang dapat meningkatkan hasil jualan sebanyak 174 peratus, tertinggi dalam industri Jualan Pasar Raya (Makanan & Minuman). Faktor utama kejayaan adalah bungkusan produk lebih menarik selain mempergiatkan pemasaran secara dalam talian.

“Selain itu, dalam industri Kafe dan Restoran pula, ada peserta berjaya meningkatkan jualan sebanyak 57 peratus,” ujarnya.

Untuk rekod, sehingga September 2022, INSKEN telah melaksanakan sebanyak 21 program IBBC di pelbagai negara pada tahun ini yang merupakan tahun keenam ia dianjurkan.